Skuad Zidane gagal raih tiga mata

Skuad Zidane gagal raih tiga mata

MADRID, 25 Jan – Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane mengetepikan halangan pertama sejak mengambil alih pasukannya daripada Rafael Benitez selepas hanya mampu seri 1-1 di Real Betis, awal pagi tadi.

Dalam perlawanan ketiga di bawah kendalian jurulatih kelahiran Perancis itu dan perlawanan pertama di tempat lawan, Real terlebih dahulu dikejutkan ledakan voli Alvaro Cejudo pada minit ke-7 sebelum Karim Benzema menyamakan kedudukan 19 minit sebelum tamat perlawanan.

Betis terpaksa menahan asakan bertali arus dalam aksi di kota Seville itu, dengan penjaga gol Antonio Adan bekas pemain Real berada pada prestasi terbaik untuk menafikan percubaan berbahaya Cristiano Ronaldo, Benzema dan Pepe.

Zidane berkata, pasukannya sepatutnya layak membawa pulang lebih daripada satu mata, yang menyaksikan mereka kini kekurangan empat mata berbanding pendahulu Barcelona dan pasukan kedua Atletico Madrid.

Barca yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan menyambut kunjungan Atletico minggu depan, mendahului liga berdasarkan kelebihan gol.

Cristiano Ronaldo ketika beraksi dalam perlawanan tersebut. – Reuters
Cristiano Ronaldo ketika beraksi dalam perlawanan tersebut. – Reuters

“Kami akan mengikut pelan kerja kami dan kami masih berada pada landasan betul,” kata Zidane atau Zizou dalam sidang media.

“Anda harus memberi tumpuan kepada perkara positif,” tambah jurulatih berusia 43 tahun itu yang juga bekas legenda Perancis dan Real.

“Kami kehilangan dua mata dan ia adalah sesuatu yang negatif tetapi kami harus berfikir bahawa boleh mendapatkan lebih dari itu dan kami perlu berjuang untuk liga sehingga akhir. “

Real selepas ini akan menghadapi dua ujian La Liga yang lebih mudah di laman sendiri kepada Espanyol dan tempat lawan kepada Granada sebelum menjadi tuan rumah kepada Athletic Bilbao pada 13 Februari ini. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA