Skuasy: Skuad remaja M’sia sapu bersih pingat emas

Skuasy: Skuad remaja M’sia sapu bersih pingat emas

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Skuad remaja Malaysia menyapu bersih kesemua pingat emas yang ditawarkan dalam acara skuasy di temasya Sukan Komanwel Belia (CYG) kelima di Apia, Samoa, pada hari ini.

Selepas memenangi dua pingat emas acara perseorangan pada Selasa lepas, mereka terus mempamerkan aksi cemerlang dalam acara beregu lelaki, perempuan dan campuran.

Pingat emas pertama hari ini diperolehi menerusi gandingan perempuan Andrea Lee/Zoe Foo yang menewaskan Eleanor Epke/Abbie Palmer dari New Zealand dengan 11-10, 11-10.

Rentak kecemerlangan itu kemudian diikuti beregu lelaki Fareez Izwan/Marcus Sim dan beregu campuran Ng Eain Yow/Andrea Lee.

Selain skuasy, Malaysia turut menambah satu lagi pingat emas dalam acara angkat berat melalui Jabriella Teo Samuel dalam acara 69kg wanita dengan jumlah angkatan 186kg.

Pingat perak menjadi milik peserta tuan rumah, Feagaiga Stowers (172kg) dan gangsa dimenangi Djifack Ma’atemkem Zomgoua Rayssa dari Cameron dengan angkatan 169kg.

Malaysia turut meraih gangsa dalam acara boling padang pairs campuran menerusi Fatin Nurrawiah Shamsudin dan Muhammad Saifudin Zulkepli.

Setakat ini, Malaysia menduduki tempat kedua keseluruhan selepas mengumpul 11 pingat emas, dua perak dan tiga gangsa.

Australia mendahului carta pungutan pingat dengan 19 emas, 13 perak dan 15 gangsa.   Temasya kali kelima yang disertai 60 negara itu akan menutup tirainya esok. – Bernama