Sky Lounge RB berwajah baru

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Rahwani Zahari

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), hari ini, telah melancarkan Sky Lounge yang dikemas kini dan memperkenalkan bilik menunggu kelas perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Pelancaran ruang menunggu terbaru itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku Lembaga Pengarah RB dan Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ruang menunggu kelas perniagaan RB itu adalah bagi memenuhi keperluan pelancong sofistikated dan kerap yang merupakan pelanggan kelas perniagaan RB dan ahli emas Royal Skies. Ruang tersebut menjamin keselesaan pelanggan, ketenangan, tempat makan dan hiburan.

Dengan kapasiti 72 orang, ruang berkenaan menampilkan dekor mewah dan selesa dengan rekaan yang membuatkan pelanggan terasa seperti di rumah sendiri untuk berehat dan menikmati layanan baik RB.

Manakala itu, Sky Lounge RB yang dikemas kini juga dibuka bagi pemegang Kad Perak Royal Skies, tetamu korporat, pelanggan penerbangan dan pelanggan yang berada di Brunei buat pertama kali.

Dr. Haji Abdul Manaf (dua, kiri) bersama Karam Chand merasmikan pembukaan Sky Lounge RB yang dikemas kini di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Dr. Haji Abdul Manaf mencuba beberapa fasiliti terbaru di Sky Lounge RB.

Ruang tersebut masih mengekalkan reka bentuk elemen ‘Ayer Mulih’ dan lukisan unik Kampong Ayer dalam mengekalkan lambang keBruneian.

Mempunyai kapasiti 120 tetamu, Sky Lounge menyediakan hidangan bufet dan kemudahan sedia ada seperti bilik solat. Walau bagaimanapun pelanggan berhak menerima lebih dengan kemudahan menarik seperti bilik menonton wayang, zon keluarga, kawasan permainan video seperti PS4 dan Xbox Kinect dan juga stesen Virtual Reality menumpukan tempat-tempat menarik di Brunei Darussalam dan destinasi-destinasi RB, memberi para pengunjung pengalaman menarik dengan pelbagai tarikan.

Karam Chand berkata, “Di RB, kami percaya pengalaman perkhidmatan daripada penyelidikan pilihan percutian, penempahan, perkhidmatan di lapangan terbang dan dalam penerbangan adalah kunci utama. Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengalaman tetamu kami di setiap sentuhan.

“Kami memperluaskan kemudahan dan menawarkan makanan dan minuman berkualiti tinggi dan kami percaya ruang menunggu terbaru ini akan melebihi jangkaan tetamu dan membantu mencapai penerbangan bertaraf empat bintang,” tambahnya.