Slimani bersama The Foxes

Slimani bersama The Foxes

LONDON, 1 Sept – Juara Liga Perdana (PL) Inggeris, Leicester City dilaporkan mencipta rekod perpindahan apabila mengikat penyerang Algeria, Islam Slimani daripada Sporting Portugal dengan harga 29.7 juta pound.

Slimani dengan reputasi 27 gol dalam 33 penampilan liga bagi pasukan Lisbon pada musim lalu bersetuju mengikat kontrak lima tahun dengan pasukan Claudio Ranieri itu.

Perpindahan pemain berusia 28 tahun itu ke Leicester memadamkan rekod kelab bernilai 16 juta pound ketika mendapatkan penyerang Nigeria, Ahmed Musa dari CSKA Moscow Julai lalu.

“Untuk menyertai satu pasukan seperti Leicester City adalah satu penghormatan besar dan saya tidak sabar-sabar untuk bermula,” kata Slimani menerusi laman web Leicester.

“Saya sering mahu bermain bola sepak dalam PL dan mempunyai peluang melakukan itu bersama juara bertahan adalah sesuatu yang saya tak boleh tolak.

“Saya menyaksikan kejayaan mengagumkan musim lalu dan keghairahan penyokong kelab. Ia adalah sesuatu yang saya tidak sabar untuk turut serta.”

Sporting berkata Leicester sebelum ini bersetuju membayar 25.5 juta pound dengan bayaran dikatakan meningkat lagi sebanyak 4.2 juta pound. Slimani akan bergandingan dengan rakan senegara Riyad Mahrez di Stadium King Power.

Mahrez sebelum ini diundi sebagai Pemain Terbaik selepas memainkan peranan utama dalam kejayaan The Foxes musim lalu dan dia meyakinkan Slimani bakal memperoleh manfaat apabila menyertai skuad Ranieri.

“Kawan saya, Riyad Mahrez bercakap kepada saya mengenai kelab ini dan suasana dengan peminat Leicester di Stadium King Power,” kata Slimani. – AFP