Slot tambahan Piala Dunia buat Afrika

Slot tambahan Piala Dunia buat Afrika

ABUJA, Nigeria, 26 Julai – Afrika perlu diberi dua lagi slot tambahan di pusingan akhir Piala Dunia sekiranya kejohanan bola sepak terunggul dunia itu dikembangkan kepada 40 pasukan, kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Bercakap kepada pemberita dalam perjalanan singkatnya ke Nigeria, semalam, Infantino mengulangi semula janjinya pada majlis pemilihan pucuk pimpinan FIFA yang mahukan perubahan format Piala Dunia.

Ia membabitkan 40 pasukan dan mahu benua Afrika mendapat sekurang-kurangnya dua slot tambahan bermula edisi 2026.

“Saya percaya Piala Dunia 2026 – kerana edisi 2018 dan 2022 sudah diputuskan – sepatutnya mempunyai 40 pasukan… dan daripada lapan pasukan perlu ada sekurang-kurangnya dua slot untuk pasukan Afrika,” katanya kepada pemberita.

Infantino menyampaikan cendermata kepada Presiden Nigeria Mohammadu Buhari semasa melawat Abuja, kelmarin. – AFP
Infantino menyampaikan cendermata kepada Presiden Nigeria Mohammadu Buhari semasa melawat Abuja, kelmarin. – AFP

“Ini adalah apa yang saya isytiharkan semasa kempen dan anda perlu tahu saya bukannya seorang diktator sebaliknya presiden demokratik yang diberi mandat oleh ahli gabungan, jadi saya perlu bercakap dengan semua orang dan mendengar pandangan mereka sama,” katanya.

Menambah jumlah pasukan yang bertanding menjadi satu daripada manifesto Infantino, yang dilantik sebagai presiden badan induk bola sepak dunia itu pada Februari lalu.

Piala Dunia seterusnya akan disertai 32 pasukan dengan Afrika diberi lima slot sejak penambahan yang dibuat pada 1998, kecuali untuk edisi 2010 apabila, kejohanan dianjurkan Afrika Selatan menyaksikan enam pasukan dari benua Afrika bertanding. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA