Slovakia kental menjelang Euro 2016

Slovakia kental menjelang Euro 2016

BRATISLAVA, 5 Jun – Ireland Utara menuju ke Euro 2016 dengan rekod tanpa kalah terpanjang berbanding 24 pasukan lain selepas terikat tanpa jaringan menentang Slovakia di Trnava, awal pagi tadi.

Anak buah Micheal O’Neill kini tidak tewas dalam 12 aksi meskipun beraksi hambar menentang Slovakia pada perlawanan pemanas badan terakhir sebelum beraksi di Perancis, minggu depan.

Pemain pertahanan, Aaron Hughes, 36, menjadi pemain Ireland Utara pertama selain penjaga gol yang meraih 100 kaps apabila dia masuk menggantikan Craig Cathcart yang mengalami kecederaan.

Slovakia yang bakal bertemu Wales pada aksi pembukaan Kumpulan B memiliki beberapa peluang di babak pertama menerusi Vladimir Weiss, Patrik Hrosovsky dan juga Robert Mak.

Pasukan Irish itu hampir mendahului permainan di hujung separuh masa pertama apabila penjaga gol, Matus Kozacik gagal menangkap kemas rembatan leret Chris Baird.

Slovakia yang menewaskan Jerman pada aksi persahabatan sebelum ini lebih menguasai permainan namun mensia-siakan beberapa peluang yang dicipta termasuk dari Marek Hamsik yang gagal menolak masuk hantaran lintang cantik pada minit ke-80.

Ireland Utara nyaris memenangi perlawanan apabila Martin Skrtel tertampan hantaran lintang ke dalam gawang sendiri namun diselamatkan menerusi ketangkasan Kozacik. – AP

 

ARTIKEL YANG SAMA