Slovenia bina penghadang sekat pendatang rentas sempadan

Slovenia bina penghadang sekat pendatang rentas sempadan

LJUBLJANA, 12 Nov (AFP) – Slovenia kelmarin berkata akan membina ‘halangan’ di sempadan dengan Croatia, sebagai langkah mengekang kemasukan pendatang asing.

Perdana Menterinya Miro Cerar – yang negaranya bulan lalu tiba-tiba menjadi laluan utama kemasukan pelarian dan pendatang ke utara Eropah – bagaimanapun berkata, ia tidak akan menutup sempadan dengan Croatia.

“Kami memutuskan untuk mula membina beberapa penghadang sementara di zon bebas pasport Schengen yang bersempadan dengan Croatia.

“Halangan ini termasuk pagar jika perlu, yang bertujuan menjadi pemandu arah untuk pelarian ke arah lintasan sempadan, bukan bertujuan menutup sempadan kepada mereka,” katanya.

Slovenia mula bergelut dengan kebanjiran lebih 170,000 pendatang sejak pertengahan Oktober, apabila Hungary menutup sempadannya dengan Croatia. Kumpulan itu sebahagian daripada kira-kira 800,000 yang sudah tiba di pantai Eropah sepanjang tahun ini.

Tentera Slovenia memasang pagar dawai berduri di perkampungan Veliki Ormoz berhampiran sempadan dengan Croatia. - Agensi
Tentera Slovenia memasang pagar dawai berduri di perkampungan Veliki Ormoz berhampiran sempadan dengan Croatia. – Agensi

Cerar berkata, langkah itu bertujuan mengelak daripada berlaku bencana kemanusiaan yang disebabkan oleh kenaikan mendadak jumlah pendatang pada minggu ini berikutan berlaku sedikit penurunan baru-baru ini. Katanya, Austria merancang mengehadkan jumlah pendatang harian baru kepada 6,000.

“Dengan kedatangan musim sejuk dan suhu yang semakin menurun, kami bakal berhadapan dengan malapetaka jika kami tidak bertindak secepat mungkin,” katanya.

Austria, yang sudah menerima 70,000 rekod tuntutan suaka setakat tahun ini, belum mengumumkan akan mengehadkan bilangan penyertaan pendatang asing.

Bagaimanapun, kerajaan campurannya yang berbelah bagi mengenai isu itu dijangka akan berbincang untuk mengambil langkah sama dengan Slovenia.

ARTIKEL YANG SAMA