Slovenia, Croatia tutup transit penghijrah

Slovenia, Croatia tutup transit penghijrah

LJUBLJANA, 9 Mac (AFP) – Slovenia dan negara jiran Croatia mulai hari ini tidak membenarkan transit kebanyakan penghijrah menerusi wilayah mereka dalam usaha untuk menutup jalan Balkan yang digunakan oleh beratus ribu orang yang berusaha mencari kehidupan baru di Eropah, kata pegawai.

Langkah terbaru dalam krisis penghijrah Eropah mungkin mencetuskan kesan domino di kalangan negara Balkan, dengan Serbia memberi petunjuk ia akan mengikut jejak langkah Ljubljana dan Macedonia jelasnya akan melakukan yang sama.

Tindakan untuk menutup laluan utama yang digunakan oleh kebanyakan penghijrah yang berharap dapat mencari perlindungan atau prospek ekonomi yang lebih baik di utara Eropah berlaku sehari selepas EU dan Turki bersetuju dengan satu cadangan yang bertujuan meredakan krisis tersebut.

Pegawai EU mengalu-alukan perjanjian pada Isnin dengan Ankara sebagai satu kemajuan penting, tetapi ketua agensi pelarian PBB meragui kesahannya, sementara Amnesti Antarabangsa berkata rancangan itu “memberi tamparan hebat kepada hak untuk mendapatkan perlindungan.”

Kementerian dalam negeri Slovenia berkata lewat semalam mulai tengah malam, kemasukan hanya akan diberikan kepada “warga asing yang memenuhi syarat-syarat untuk memasuki negara,” mereka yang ingin mendapatkan perlindungan, dan penghijrah dipilih “berdasarkan sebab-sebab kemanusiaan sejajar dengan peraturan zon Schengen.”

Rakan anggota EU Croatia, yang bukan sebahagian dari zon Schengen yang tidak menggunakan pasport, berkata ia akan mengikut jejak langkah Slovenia dan tidak membenarkan transit kepada kebanyakan penghijrah mulai tengah malam.

“Jelasnya Eropah telah memutuskan untuk memulakan satu fasa baru dalam menyelesaikan krisis penghijrah. Keputusan telah dicapai di mana di sempadan zon Schengen, peraturan Schengen akan digunakan,” beritahu Menteri Dalam Negeri Vlaho Orepic kepada televisyen RTL.

Croatia, yang telah pun mengehadkan jumlah yang dibenarkan untuk masuk ke negara, kini hanya membenarkan penghijrah dengan visa yang sah.