SM Arab Katok...

SM Arab Katok diberi nama baru

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini, memaklumkan bahawa Baginda Sultan telah mengurniakan titah perkenan bagi bangunan baru Sekolah Menengah (SM) Arab Katok diberikan nama sebagai Sekolah Ugama (Arab) Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkuat kuasa mulai 2 Jamadilawal 1438H bersamaan dengan 30 Januari 2017.

Menurut kenyataan dari KHEU, sekolah berkenaan merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10 (RKN10) yang dikendalikan oleh kementerian berkenaan yang menelan belanja hampir $47 juta.

Reka bentuk bangunan mengambil kira hasrat dan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia supaya bangunan yang didirikan merupakan sebuah sekolah agama/Arab yang unik dengan sistem pendidikan Islam yang diterap dan diasuh bagi mendidik anak bangsa ke arah melahirkan serta membentuk sahsiah bangsa dan masyarakat Brunei yang kuat berpegang teguh dengan ajaran agama Islam.

Bangunan SUAMPRIPAHS, dibina di tapak seluas lapan hektar bersamaan 20 ekar itu mampu menampung seramai 1,800 orang pelajar perempuan dan 150 orang tenaga pengajar dan pentadbiran.

Ia mula digunakan pada 5 Rabiulakhir 1438H bersamaan 3 Januari 2017 iaitu bermulanya penggal persekolahan baru tahun 2017.

Sekitar Sekolah Ugama (Arab) Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS).
Sekitar Sekolah Ugama (Arab) Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS).

Pelajar-pelajar SUAMPRIPAHS merupakan pelajar-pelajar asal Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit terdiri daripada pelajar Tahun 7 hingga Tahun 11 dengan jumlah keseluruhan pelajar seramai 1,350 orang.

Menurut KHEU lagi, sistem persekolahan yang diguna pakai di sekolah ini adalah berdasarkan Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 yang merangkumi sistem persekolahan Arab, yang merupakan sistem arus perdana dengan penekanan kepada kemahiran-kemahiran abad ke-21 dan ilmu-ilmu agama dan Bahasa Arab.

Manakala dari segi pelaksanaan kurikulum adalah menggunakan dua sistem kurikulum utama iaitu kurikulum kebangsaan bagi subjek-subjek umum dan kurikulum Ma’had Buhuth al-Islamiah, Mesir bagi subjek-subjek agama dan Bahasa Arab.

Bangunan SUAMPRIPAHS yang berdiri megah lagi tersergam indah ini, mempunyai sebuah blok sekolah dan pentadbiran dengan ketinggian tujuh tingkat. Konsep reka bentuknya melambangkan perpaduan di alam Melayu, di mana seluruh warga sekolah adalah sebuah keluarga besar. Di atas halaman tengah, diwujudkan skylight yang berbentuk bintang berbucu lima.

Kawasan halaman tengah sekolah berkenaan.
Kawasan halaman tengah sekolah berkenaan.
Rupa bentuk dewan kuliah bagi sekolah tersebut.
Rupa bentuk dewan kuliah bagi sekolah tersebut.

Kesemua ruang pendidikan formal berada di lingkaran bulatan dan meninggalkan ruang terbuka di bahagian tengah untuk digunakan sebagai kawasan perhimpunan, pameran dan pelbagai aktiviti yang juga menjadi nadi kepada sekolah berkenaan.

Melayu Islam Beraja (MIB) juga telah diterapkan sejak perancangan awal pembinaan, bermula dari seni reka konsep yang mengarahkan kesemua bangunan menghadap ke arah Kiblat. Unsur seni bina Islam seperti unsur taman dan unsur air, kubah, gerbang dan corak geometri telah digunakan secara menyeluruh dalam seni bina sekolah ini.

Bangunan SUAMPRIPAHS dilengkapi keperluan asas akademik meliputi 72 bilik darjah dengan kepadatan 25 orang pelajar bagi setiap bilik, 12 bilik makmal sains iaitu tiga makmal fizik, tiga makmal biologi, tiga makmal kimia dan tiga makmal Combined Science, tiga makmal bahasa, lima bilik komputer, perpustakaan, pejabat pentadbiran sekolah, bilik guru dan dua dewan kuliah dengan kapasiti seramai 300 orang dan 150 orang.

Di samping itu, bangunan ini turut dilengkapi dengan kemudahan seperti tempat letak kereta, kantin bagi 700 orang pelajar, dewan serba guna bagi 1,500 orang pelajar, surau untuk pelajar perempuan sahaja bagi seramai 1,000 orang, dewan makan (900 pelajar/1,000 orang), asrama (500 orang), dua buah rumah warden dan pelbagai kemudahan sukan seperti enam gelanggang badminton, gelanggang bola jaring dan lain-lain lagi.

Penyediaan infrastruktur, prasarana yang kondusif dan sistem persekolahan yang berkualiti tinggi ini merupakan antara usaha berterusan KHEU melalui Jabatan Pengajian Islam dalam merealisasikan Wawasan Negara 2035 bagi mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

ARTIKEL YANG SAMA