SM Awang Semaun raikan pelajar cemerlang

SM Awang Semaun raikan pelajar cemerlang

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Pelajar-pelajar cemerlang Sekolah Menengah Awang Semaun (SMAS) hari ini diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil bagi mereka yang berjaya dalam Peperiksaan BCGCE dan IGCSE O Level baru-baru ini.

Penyampaian sijil disempurnakan oleh Ketua Kluster 2, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Metusin bin Haji Jais. Dalam ucapannya beliau berkata, ia merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan yang padu di antara sekolah dengan para ibu bapa dan pelajar.

Kejayaan para pelajar adalah sangat tinggi nilainya kerana mereka ini bakal menjadi pemimpin negara di masa hadapan, katanya sambil menasihatkan para pelajar supaya akan memanfaatkan ilmu yang diperoleh dan sentiasa mencari ilmu di mana sahaja berada.

Pengetua Sekolah Menengah Awang Semaun, Haji Jafri bin Haji Suhaili pula berkata, pihak sekolah amat berbangga dengan pencapaian cemerlang para pelajar yang gigih berusaha untuk mengharumkan nama sekolah dan kejayaan mereka telah menyuntik semangat para guru untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan pada masa akan datang.

Salah seorang pelajar yang menerima sijil cemerlang tersebut.
Salah seorang pelajar yang menerima sijil cemerlang tersebut.
Pelajar-pelajar cemerlang bergambar ramai bersama warga sekolah dan ibu bapa mereka.
Pelajar-pelajar cemerlang bergambar ramai bersama warga sekolah dan ibu bapa mereka.

Majlis hari ini turut menyaksikan sesi kongsisama para pelajar SMAS yang mengikuti Program Japan East-Asia Network of Exchange for Students and Youths (JENESYS).Seramai 17 pelajar cemerlang menerima sijil mereka hari ini, terdiri daripada Pelajar Terbaik bagi Tahun 7 (2015), Pelajar Cemerlang SPE Tahun 8 (2015, Pelajar Terbaik bagi Tahun 9 (2015), Pelajar Terbaik bagi Tahun 10 (2015), Pelajar Terbaik bagi Program BTEC (2015), Pelajar Program MP3 (KOHOT 3), Pelajar yang mengetuai Santapan Rohani Semasa Perkumpulan pagi 2015.

Turut menerima sijil ialah pelajar cemerlang Peperiksaan GCE ‘O’ Level dan IGCSE bagi Tahun 11, pelajar yang mendapat 5 ke 9 Kredit dalam Peperiksaan GCE ‘O’ Level & IGCSE, pelajar yang mendapat Gred A2 dalam Peperiksaan GCE ‘O’ Level & IGCSE, guru-guru subjek Tahun 11 yang berjaya meningkatkan peratus kredit, dan guru-guru subjek Tahun 11 yang menghasilkan pelajar yang mendapat Gred A2.

Pada majlis berkenaan, penyampaian hadiah galakan dari guru-guru untuk pelajar Tahun 11 dan penyampaian anugerah kepada Pelajar Terbaik Keseluruhan bagi tahun 2015. Pada tahun ini hanya seorang pelajar yang berjaya mendapat 9 kredit ‘O’ Level, empat orang berjaya mendapat 8 kredit, empat orang mendapat 7 kredit, dua orang mendapat 6 kredit dan enam orang mendapat 5 kredit ‘O’ Level.

Pelajar yang berjaya mendapat 9 kredit ‘O’ Level ialah, Awang Mohd Haffiyan bin Ahmad Taib. Beliau lulus dengan cemerlang dan mendapat 9 O Level dalam peperiksaan BCGCE ‘O’ Level 2015 dan kini meneruskan pengajian di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

ARTIKEL YANG SAMA