SM Awang Semaun ungguli Kejohanan Sepak Takraw

SM Awang Semaun ungguli Kejohanan Sepak Takraw

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Sekolah Menengah (SM) Awang Semaun menyapu bersih kedua-dua kategori dalam Kejohanan Sepak Takraw Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Peringkat Zon 1 Negara Brunei Darussalam, 2016 selepas kedua-dua pasukannya masing-masing menewaskan SM Sayyidina umar Al-Khattab, dua set tanpa balas.

Hadir menyaksikan perlawanan yang diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Menglait dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemain ialah mantan Pengetua SM Menglait, Liew Yong Kim, sambil diiringi Pengetua SM Menglait, Awang Mohidin bin Haji Noordin.

Dalam Kategori B (15 Tahun Ke Bawah), SM Awang Semaun menang 21-14 dan 21-19, manakala dalam Kategori C (18 Tahun Ke Bawah), SM Awang Semaun menang 21-8 dan 21-9.

Awang Liew (duduk 4 dari kiri) bersama kedua-dua pasukan juara Kategori B (putih) dan Kategori C (biru) dari SM Awang Semaun.
Awang Liew (duduk 4 dari kiri) bersama kedua-dua pasukan juara Kategori B (putih) dan Kategori C (biru) dari SM Awang Semaun.

Tempat ketiga Kategori B dimenangi oleh SM Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA) setelah berjaya mengalahkan SM Menglait dengan ‘straight’ set, 21-17 dan 21-12 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Manakala dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Kategori C, Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) berjaya menewaskan SM Menglait, juga dengan ‘straight’ set, 21-13 dan 21-4 untuk memastikan tempat ketiga menjadi miliknya.

Kejohanan tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan itu kali ini dikendalikan oleh SM Menglait.