SM Berakas juara Pertandingan A-Team

SM Berakas juara Pertandingan A-Team

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Sekolah Menengah Berakas muncul juara Pertandingan Akhir Kumpulan Bertindak A-Team Bagi Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab 2015, sementara Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Tutong dan Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Kuala Beait masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Pelajar Dayang Najwa Qayyimah binti Sanudin dari Sekolah Menengah Berakas dipilih sebagai pembentang terbaik.

Pertandingan ke-9 yang dikendalikan oleh Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan ini bertemakan ‘Pelajar Beriman Negara Aman’ berlangsung hari ini di Dewan Serba guna Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien (SOAS), Bandar Seri Begawan.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Bahagian Yayasan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Mohammad Hanafi bin Pehin Orang Kaya DiGadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman, menyarankan kepada Pasukan Kumpulan Bertindak A-Team Sekolah supaya menyebarkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kebolehan kepada semua pihak yang terlibat khususnya di sekitar sekolah para pelajar sendiri.

Menurutnya, tugasan yang diberikan amat mencabar para pelajar kerana pelajar terpaksa membahagikan masa belajar dan masa untuk menyelesaikan projek “A Team” yang mengambil masa satu tahun setengah.

Haji Mohammad Hanafi menyaksikan persembahan dari lima buah kumpulan A-Team dalam peringkat akhir A-Team Bagi Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab 2015.
Haji Mohammad Hanafi menyaksikan persembahan dari lima buah kumpulan A-Team dalam peringkat akhir A-Team Bagi Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab 2015.
Gambar ramai bersama kumpulan-kumpulan pemenang Pertandingan Akhir Kumpulan Bertindak A-Team Bagi Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab 2015
Gambar ramai bersama kumpulan-kumpulan pemenang Pertandingan Akhir Kumpulan Bertindak A-Team Bagi Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab 2015

“Saya percaya melalui penyelesaian projek yang dirancang, pelbagai pengalaman dan kemahiran telah dapat pelajar peroleh seperti kemahiran pengurusan masa, kemahiran ketahanan fizikal dan mental. Pengalaman yang diperoleh semasa melaksanakan projek ini adalah sangat berharga dalam hidup mereka,” jelasnya lagi.

Menyentuh mengenai pertandingan, tema “Pelajar Beriman Negara Aman” amat bersesuaian kerana peranan Pembimbing Rakan Sebaya yang memimpin dan mempengaruhi rakan sebayanya untuk menyampaikan mesej dalam membanteras dan menangani isu-isu yang berbangkit pada masa kini atau zaman globalisasi ini adalah penting, katanya.

“Bakat, kemahiran dan kebolehan pasukan Kumpulan Bertindak (A Team) sekolah diibaratkan seperti benih yang berkualiti yang telah ditanam pada tanah yang subur. Saya harap buahnya berguna kepada orang lain dan negara selepas pertandingan ini nanti,” ujarnya.

Sebanyak lima buah sekolah bertanding di peringkat akhir yang mana setiap kumpulan menyampaikan mesej dan strategi projek masing-masing dalam memberi kesedaran kepada para pelajar dan orang ramai tentang kesan negatif jika terjebak dalam masalah sosial.

Pertandingan diharap dapat menjadi wadah menyokong kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya para remaja sekolah dan masyarakat amnya.

ARTIKEL YANG SAMA