SM Chung Ching rai ulang tahun ke-76

SM Chung Ching rai ulang tahun ke-76

Oleh Hajah Saemah kepli

 

SERIA, 5 Sept – Sekolah Menengah (SM) Chung Ching telah menyambut ulang tahun ke-76 penubuhannya dengan mengadakan acara makan malam yang diserikan sama dengan pelbagai persembahan menarik daripada pelajar-pelajarnya, pada majlis yang diadakan di Dewan Jubilee sekolah tersebut di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Daerah Belait, Awang Loo Soo Nin.

Penampilan pelajar-pelajar pra sekolah, sekolah rendah dan menengah secara kolektif itu menghiburkan seramai lebih 800 orang hadirin yang datang terdiri daripada kalangan ahli-ahli lembaga sekolah, ibu bapa dan penjaga pelajar serta jemputan lainnya.

Gabungan 15 rentak muzik, dipersembahkan melalui tarian, dan pertunjukan seni bela diri, selain tarian Melayu, India dan masyarakat Tiong Hua memeriahkan majlis berkenaan.

Pengerusi SM Chung Ching, Chin Kim Min dalam ucapannya pada majlis yang melakarkan sejarah itu berkata, baru-baru ini sekolah berkenaan telah melaksanakan nilai tambah termasuk dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan projektor di semua kelas sekolah tersebut.

Persembahan warna-warni dijayakan oleh para pelajar pra, peringkat rendah dan menengah Sekolah Menengah Chung Ching.
Persembahan warna-warni dijayakan oleh para pelajar pra, peringkat rendah dan menengah Sekolah Menengah Chung Ching.

Menurutnya, CCTV yang antara lain untuk mengawal keselamatan itu diletakkan di kawasan yang strategik, termasuklah lorong-lorong, pintu pagar utama dan kelas-kelas, manakala projektor moden adalah bagi membolehkan guru-guru menunjukkan bahan-bahan pembelajaran ditayangkan terus daripada kemudahan komputer riba.

“Sekolah ini akan terus melaksanakan program-program yang akan memberikan peningkatan pencapaian akademik, termasuklah kualiti pengajaran, dan pendekatan tidak bertoleransi kepada ketidakhadiran pelajar ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, tetamu kehormat dalam ucapannya pula turut menyeru masyarakat Cina di daerah ini supaya akan terus memberikan sokongan kepada sekolah tersebut yang telah ditubuhkan sejak tahun 1938, dalam usahanya untuk membantu menyediakan pembelajaran kepada penduduk di daerah ini. Pelajar-pelajar di sekolah tersebut bukan hanya dalam kalangan masyarakat Cina, tetapi berbagai-bagai bangsa lainnya termasuk Melayu, India dan sebagainya.

Pada tahun lalu, sekolah itu telah berjaya mencapai kejayaan tertinggi dalam Peperiksaan GCE Peringkat O, begitu juga pada tahun-tahun sebelumnya.

ARTIKEL YANG SAMA