SM Chung Hua terima 89 hamper

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Sebanyak 89 buah hamper yang dihasilkan oleh lepasan pelatih Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan Koperasi Pusat Pembangunan Belia (KOPPB) melalui Program Kotej dan Inisiatif Belia diserahkan kepada Sekolah Menengah Chung Hua, Kuala Belait, hari ini.

Majlis penyerahan hamper yang diadakan di Bangunan KHub, Anggerek Desa itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi KOPPB, Awang Saiful Rizal bin Haji Ariffin kepada Pengerusi Sekolah Menengah Chung Hua, Lau Shiew Yuen.

Menurut Penasihat Dewan Perniagaan Kebangsaan dan Industri Brunei Darussalam selaku Pengetua Program Kotej dan Inisiatif Belia, Kapten (B) Zailan bin Pehin Dato Mohd Don, semasa ditemui menyatakan hamper tersebut merupakan hasil buatan lepasan pelatih PPB yang bernilai lebih kurang $8000.

“Kerjasama di antara Program Kotej dan Inisiatif Belia, iCentre telah bermula pada bulan Julai tahun lalu yang mana program ini telah melatih para lepasan pelatih PPB untuk menghasilkan produk-produk buatan tempatan yang mempunyai standard antarabangsa dan berkualiti.”

Dengan adanya kerjasama melalui program tersebut, ini, menjadikan produk-produk ini lebih mantap dan dikenali orang ramai dan ia juga akan dapat membantu mereka memasarkan produk mereka bukan sahaja di Brunei malah ke pasaran luar negara.

Awang Saiful Rizal semasa menyerahkan hamper kepada Lau Shiew Yuen.
Kapten (B) Zailan semasa ditemu bual oleh media.

Menurut beliau lagi, para pelatih turut menyertai memasarkan produk-produk mereka di Cube Junction iaitu sebuah platform e-Dagang Brunei.

Beliau berharap dengan majlis hari ini akan dapat mempromosikan lagi produk-produk tempatan di negara ini kepada orang ramai dengan membuktikan bahawa produk yang dijual ini berkualiti dan mempunyai standard antarabangsa.

Manakala itu, menurut Lau Shiew Yuen pula semasa ditemui pihak Media Permata menjelaskan, ini merupakan inisiatif sekolah dalam memberikan sokongan terhadap produk-produk tempatan.

Beliau menyeru orang ramai agar tidak memandang rendah produk tempatan kerana pengusaha masa kini semakin berfikiran inovatif dalam menghasilkan produk yang berkualiti.

Di samping itu juga, beliau turut berharap kepada para pelatih-pelatih ini akan sentiasa tekun dan berusaha meningkatkan produk-produk mereka bukan sahaja daripada segi menghasilkan produk tersebut malah mengembangkan lagi rangkaian-rangkaian mereka ke peringkat antarabangsa.