SM Chung Hwa BSB ungguli BICTA 2016

SM Chung Hwa BSB ungguli BICTA 2016

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Tajuk projek ‘BHealth App’ membawa tuah kepada Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan apabila diumumkan sebagai juara dalam Kategori Projek Sekolah serta menjadi pemenang keseluruhan terbaik dengan membawa pulang Piala Penaung Diraja, Anugerah ICT Brunei 2016 (BICTA 2016).

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan anugerah berkenaan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.

Anugerah Penaung Diraja Kurnia Duli Yang Teramat Mulia merupakan sebuah anugerah berprestij yang diadakan dua tahun sekali dan diberikan kepada pemenang keseluruhan terbaik daripada semua kategori. Sebagai juara Kategori Projek Sekolah, mereka membawa pulang hadiah sebuah trofi, sijil penyertaan dan wang tunai $3,000.

BHealth App merupakan sebuah aplikasi yang memiliki data maklumat komprehensif tentang pengamal perubatan, klinik dan hospital di semua bandar utama ASEAN.

Pelajar-pelajar sekolah berkenaan yang menerima Anugerah Penaung Diraja BICTA 2016, ketika ditemui tidak menyangka dan terkejut apabila diumumkan sebagai penerima anugerah tersebut.

Timbalan Sultan berkenan menyampaikan Piala Penaung Diraja kepada wakil Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB, kelmarin.
Timbalan Sultan berkenan menyampaikan Piala Penaung Diraja kepada wakil Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB, kelmarin.

Pelajar Tahun 10, Tan Kia Keng yang merupakan salah seorang pelajar yang menghasilkan BHealth App berkata, penghasilan aplikasi tersebut adalah untuk membantu dalam keperluan rawatan perubatan dengan matlamat utama untuk menyelamatkan nyawa.

Katanya, aplikasi itu mengandungi ciri-ciri seperti maklumat ‘Doctor Nearby’ iaitu lokasi hospital atau klinik berdekatan kepada pengguna di samping dilengkapkan dengan kemudahan GPS melalui perhubungan Internet.

Menurut beliau, idea untuk menghasilkan aplikasi itu datang daripada seorang kawan yang mengalami kecederaan teruk akibat kemalangan motosikal semasa berada di Thailand dan berhadapan dengan masalah perhubungan, ditambah pula dengan masalah bahasa.

“Melihat kepada perkara ini, kami berhasrat untuk menghasilkan aplikasi ini untuk memudahkan orang ramai sekali gus yang dipelbagaikan bahasa bagi melancarkan penggunaannya,” Jelas Tan.

Ke arah mengembangkan dan meningkatkan lagi keberkesanan ‘BHealth App’ kepada orang ramai, pelajar SM Chung Hwa itu sedang merancang untuk menambahkan hospital dan klinik di rantau Asia Pasifik selain menambah ciri-ciri yang terdapat dalam aplikasi itu.

Sementara Stella Teoh Sze Pei yang juga merupakan pelajar yang menjayakan penghasilan BHealth App pula menjelaskan, untuk meningkatkan lagi kemudahan aplikasi tersebut, mereka juga merancang untuk menghasilkan punat kecemasan yang boleh memberi amaran kepada ahli keluarga yang lain.

“Di samping itu, bagi memantapkan lagi aplikasi BHealth App, kami juga menyediakan maklum balas terbuka untuk orang ramai dalam sama-sama memberikan pandangan yang berguna dalam memperbaiki lagi aplikasi ini.”

Ketiga-tiga pelajar yang menjayakan projek BHealth App bersama dengan bimbingan seorang guru dijangka berlepas ke Taiwan dan berharap akan membawa pulang banyak lagi anugerah kepada negara pada masa akan datang.

Sementara itu, dalam Kategori Projek Pengajian Tinggi, pasukan Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan tajuk projek ‘dfms- Deployable Flood Management System’ muncul juara, sekaligus membawa pulang hadiah berupa sebuah trofi, sijil penyertaan dan wang tunai $7,000.

Projek ini mengetengahkan teknologi yang mampu mengesan dan memberi maklumat mengenai paras air di empangan.

Bagi Kategori Industri ICT, ia dimenangi oleh Nagender Aneja dengan projek yang bertajuk ‘OffAT-Chat in airplane mode,’ sebuah aplikasi android yang boleh digunakan tanpa internet.

Aplikasi tersebut membolehkan pengguna untuk berinteraksi melalui telefon bimbit dan berkongsi fail dalam lingkungan kawasan yang memiliki jaringan tanpa kabel.

Juara menerima trofi, sijil penyertaan dan wang tunai $10,000.

Majlis hari ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas kepada dua pemaju muda iaitu Sekolah Seri Mulia Sarjana dengan projek mereka, ‘Augmented Reality of Brunei Tourism’ dan Sekolah Menengah Chung Hua, Kuala Belait dengan projek mereka ‘tSaviour.’

Sementara itu, Awang Mohammad Effendy bin Haji Jeffry dengan tajuk projek ‘Box-ITB’ dan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan menerusi projek ‘Student Transport Monitoring System’ dipilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Harapan.

Manakala UTB menerima Anugerah Teknologi Baru menerusi projek mereka ‘UTB’S Twitter Sentiment Analytic.’

Para pemenang akan mewakili negara ke Pertandingan Asia Pacific ICT Alliance Awards atau APICTA 2016, yang akan diadakan di Taipei pada bulan Disember 2016.

ARTIKEL YANG SAMA