SM Chung Hwa harumkan nama negara

SM Chung Hwa harumkan nama negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Seorang guru dari Sekolah Menengah (SM) Chung Hwa Bandar Seri Begawan telah mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam apabila menerima anugerah ‘Pendidik bagi Tahun 2015 – Projek Terbaik Keseluruhan Teknologi Pendidikan’ semasa Sidang Kemuncak Kepimpinan Asia BETT yang diadakan buat kali kedua di Marina Bay Sands Expo and Convention, Singapura, baru-baru ini.

Kalpana Kishorekumar yang juga merupakan Pendidik-Pakar Inovatif Microsoft menerima pengiktirafan itu bagi projek bertajuk ‘Envisaging Strategies in Realising Brunei Vision 2035 for Tourism’, yang menggabungkan penggunaan aplikasi Microsoft seperti OneNote, Word, Excel dan Skype.

Selepas menerima anugerah itu, beliau dipetik sebagai berkata, “Keluarga dan pelajar-pelajar memainkan peranan yang penting dalam hidup saya dan saya menghargai sumbangan mereka dalam pengiktirafan yang saya terima ini.”

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sidang kemuncak yang berlangsung pada 17 dan 18 November lalu itu mengumpulkan para pemimpin dan guru-guru kanan sekolah dari negara-negara serantau dan Asia untuk bertukar-tukar pendapat dan mempelajari amalan terbaik sekolah atau bidang masing-masing dalam merealisasikan matlamat untuk meningkatkan pencapaian para pelajar.

Pakar Pendidik Inovatif Microsoft bersama Pengetua Dayang Kho Guik Lan (tengah) dan Penolong Pengetua (dua kanan).
Pakar Pendidik Inovatif Microsoft bersama Pengetua Dayang Kho Guik Lan (tengah) dan Penolong Pengetua (dua kanan).
Pasukan SM Chung Hwa BSB yang menghadiri Sidang Kemuncak BETT Asia.
Pasukan SM Chung Hwa BSB yang menghadiri Sidang Kemuncak BETT Asia.

Dalam sidang itu, para peserta didedahkan dengan pelbagai pengetahuan seperti penggunaan teknologi dalam pendidikan dalam proses pengajaran, pembelajaran, kurikulum dan pedagogi.

Para penceramah pula terdiri daripada Timbalan Presiden Microsoft Bahagian Pendidikan Sedunia, Anthony Salcito dan Pengarah Hubungan Antarabangsa mewakili Universiti Brunei Darussalam, Dr. Abby Tan.

Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan SM Chung Hwa BSB yang juga Sekolah Contoh Microsoft di Brunei merupakan tiga buah sekolah yang telah dipilih untuk menyertai sidang kemuncak itu.

Menurut kenyataan itu, SM Chung Hwa, BSB menerima pengiktirafan sebagai ‘Sekolah Contoh Microsoft’ buat kali kedua bagi tahun 2015-2016, setelah yang pertama bagi tahun 2014-2015.

Pada tahun ini, tiga orang guru dari SM Chung Hwa, BSB mendapat pengiktirafan sebagai pendidik Innovatif ‘Microsoft Innovative Educator-Expert 2016’ yang terdiri daripada Tan Been Tiem, Kalpana Kishorekumar dan Matthew Wong Ing Huong.

ARTIKEL YANG SAMA