SM Masin terima kunjungan rombongan pengakap Kelantan

SM Masin terima kunjungan rombongan pengakap Kelantan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Sekolah Menengah (SM) Masin, hari ini, telah menerima kunjungan daripada rombongan seramai 30 orang ahli pengakap dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil, Pasir Puteh, Kelantan Darul Naim, Malaysia, yang merupakan sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Dalam lawatan itu, rombongan turut serta dalam beberapa pertandingan persahabatan dan kegiatan-kegiatan bersama ahli-ahli pengakap Sekolah Menengah Masin seperti Pertolongan Cemas, Pertandingan Pioneering dan Malam Kebudayaan Pengakap.

Lawatan turut menyaksikan penandatanganan ‘Sijil Program Pengantarabangsaan’ persaudaraan berkembar antara Pengakap SMK Kamil dengan SM Masin.

Menandatangani bagi pihak SM Masin ialah Pengetuanya, Hajah Noruren binti Haji Brahim dan SMK Kamil diwakili Pengetuanya, Haji Azmi Ab Rahman.

Majlis menandatangani sijil persahabatan jaringan pendidikan dan kokurikulum Pengakap SMK Kamil dan SM Masin.
Majlis menandatangani sijil persahabatan jaringan pendidikan dan kokurikulum Pengakap SMK Kamil dan SM Masin.
Rombongan SMK Kamil berkesempatan bergambar ramai di SM Masin.
Rombongan SMK Kamil berkesempatan bergambar ramai di SM Masin.

Selain daripada itu, majlis turut menyaksikan penyampaian lencana meningkat naik bagi 26 Pengakap Muda kepada Pengakap Remaja SM Masin, yang disempurnakan oleh Pesuruhjaya Antarabangsa Persatuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Awang Abdul Manan bin Haji Abdul Latif, Haji Azmi dan Pengurus Estet PPNBD, Haji Abdul Razak Sigai.

Rombongan yang akan pulang pada esok (10 November) juga berpeluang dibawa melawat tempat-tempat menarik di sekitar ibu negara seperti Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja dan turut menghadiri acara kebudayaan pada malam ini.

Lawatan rombongan pengakap berkenaan berobjektif untuk memupuk dan merealisasikan hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak melalui kegiatan pengakap, sekali gus memberi pendedahan kepada ahli-ahli pengakap SM Masin dalam memainkan peranan sebagai duta pengakap bukan sahaja di peringkat kebangsaan malahan antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA