SM Muda Hashim adakan bazar ria

SM Muda Hashim adakan bazar ria

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 27 Nov – Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong, hari ini, telah mengadakan Bazar Ria Bertaja 2016 yang diadakan selama dua hari berturut-turut bermula kelmarin di kawasan tempat letak kereta sekolah berkenaan.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang bazar berkenaan antaranya gerai jualan makanan dan minuman, hasil kraf tangan, buku dan lain-lain, di samping aktiviti permainan dan pameran yang disertai oleh para penuntut, guru-guru serta kakitangan sekolah, ibu bapa, masyarakat setempat dan gedung-gedung perniagaan.

Bazar ini merupakan salah satu acara yang melibatkan semua warga sekolah, ibu bapa dan ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan tujuan untuk mengumpul dana sekolah di samping untuk menimbulkan minat warga sekolah amnya dan masyarakat setempat khasnya dalam menjalankan bidang aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan.

Antara objektif bazar bertaja ini diadakan adalah untuk mengutip dana bagi membeli peralatan mengajar dan peralatan sekolah seperti komputer, perabot sekolah, Projektor LCD, mesin ‘duplicating’, mesin fotokopi dan peralatan mengajar yang lain.

Semasa Bazar Ria Bertaja 2016 dijalankan di Sekolah Menengah Muda Hashim, Tutong.
Semasa Bazar Ria Bertaja 2016 dijalankan di Sekolah Menengah Muda Hashim, Tutong.

Kutipan itu juga akan digunakan untuk membiayai projek penghijauan sekolah seperti membuat landskap, pondok menunggu pelajar, bunga-bunga serta peralatan untuk berkebun bagi menyahut seruan Kementerian Pendidikan yang mahukan konsep ‘School in Garden’.

Dalam pada itu, bazar ini juga dapat membantu Jabatan Sekolah-sekolah dan Kementerian Pendidikan dengan tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan yang diberikan bagi membiayai perbelanjaan yang diperlukan oleh sekolah dan ia juga dapat memupuk sikap berdikari dalam kalangan guru dan pelajar.

Di samping itu, bazar ini juga dapat membantu penuntut yang memerlukan bantuan melalui sumbangan 10 peratus daripada hasil kutipan itu, serta dapat menambah wang tabung kebajikan pelajar.

Bazar ini diharap dapat memupuk sikap berusaha dengan gigih untuk mendapatkan sesuatu di kalangan penuntut agar tidak berharap sepenuhnya kepada sekolah dan pihak Kementerian Pendidikan.

ARTIKEL YANG SAMA