SM Muda Hashim catat peningkatan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 16 Mac – Pencapaian para pelajar Sekolah Menengah (SM) Muda Hashim yang memperoleh 5 ‘O’ Level dan ke atas pada tahun 2016 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 9.41 peratus berbanding tahun 2015.

Perkara tersebut telah dinyatakan oleh pengetua sekolah berkenaan, Awang Ismail bin OKS Haji Tengah semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Penyampaian Hadiah Akademik bagi Pelajar Cemerlang dalam Penilaian Kemajuan Pelajar (SPA) Tahun 8 dan BC GCE ‘O’ Level/IGCSE Level 2016 di Dewan Kumpul, sekolah berkenaan, di sini, pagi tadi.

Pencapaian cemerlang ini juga merupakan rekod terbaru sekolah tersebut, sekali gus meletakkannya berada di kedudukan ke-8 daripada 33 buah sekolah menengah dan maktab-maktab di bawah Kementerian Pendidikan, ujarnya lagi.

Awang Ismail menambah bahawa sekolah tersebut juga telah menunjukkan peningkatan peratus secara keseluruhan dalam beberapa mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris, Pengetahuan Ugama Islam, History, Mathematics D, Chemistry, Biology, Combined Science dan Art & Design.

Pada majlis tersebut, seramai 53 pelajar cemerlang dalam Peperiksaan BCGCE ‘O’ Level dan IGCSE Tahun 2016 telah menerima hadiah, lima pelajar telah menerima hadiah pelajar terbaik dalam setiap subjek Peperiksaan BC GCE ‘O’ Level 2016, seorang pelajar menerima hadiah pelajar berjaya yang melanjutkan Pusat Tingkatan Enam sesi 2017 dan seterusnya enam orang pelajar menerima hadiah galakan peperiksaan bagi BC GCE ‘O’ Level Tahun 2016.

Haji Jumat menyampaikan hadiah kepada salah sorang pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Muda Hashim.
Haji Jumat menyampaikan hadiah kepada salah sorang pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Muda Hashim.
Antara pelajar-pelajar yang menerima hadiah kecemerlangan.
Antara pelajar-pelajar yang menerima hadiah kecemerlangan.

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah bagi 10 pelajar terbaik Penilaian Kemajuan Pelajar (SPA) 2016, pelajar terbaik dalam subjek SPA 2016, penyampaian hadiah Hadion’s Award, Principal’s Award bagi Peperiksaan BC GCE ‘O’ Level 2016, penyampaian sijil penghargaan kepada guru-guru Tahun 8, 10Sc1 dan Tahun 11 bagi tahun 2016.

Hadir bagi menyampaikan hadiah berkenaan ialah Ketua Kampung Penanjong, Haji Jumat bin Haji Kadir, yang juga selaku tetamu kehormat majlis.

Pada tahun ini, sekolah berkenaan telah menyasarkan 41 peratus bagi pelajar-pelajar yang memperoleh 5 ‘O’ Level dan ke atas. Oleh itu, bagi mencapai sasaran tersebut, beberapa inisiatif akademik telah pun dirancangkan dan dijalankan.

Antaranya ialah Intensive Revision Program, mengadakan kelas tambahan, Students Profiling Programme dan memantau prestasi pelajar serta mempertingkatkan kualiti pengajaran guru dan membentuk disiplin serta sahsiah pelajar.

Antara objektif majlis ini dijalankan ialah untuk memberikan ganjaran kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang, di samping dapat memberikan galakan serta dorongan kepada semua pelajar agar mereka lebih bersemangat dan bermotivasi ke arah kejayaan.