SM Muda Hashim muncul pasukan terbaik

SM Muda Hashim muncul pasukan terbaik

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Awang Alif Shamari Akmal Samsul muncul juara Kategori Terbuka manakala Pasukan Sekolah Menengah Muda Hashim, Tutong pula muncul sebagai pasukan terbaik dalam Kejohanan Catur Antara Sekolah Times Square 2015 yang berlangsung di Times Square, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang di kejohanan itu ialah Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Pengiran Suhaimi bin Pengiran Haji Bakar.

Terdahulu sebelum penyampaian hadiah, Presiden Persekutuan Catur Brunei, Haji Zainal Abidin bin Haji Mohd Ali dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada semua pihak di atas sokongan untuk menjayakan kejohanan yang diadakan buat kali pertama itu.

Beliau menyatakan harapan supaya lebih ramai pelajar akan menyertai atau bermain catur kerana ia boleh membantu mereka dalam memberikan tumpuan dalam pelajaran. Beliau berkata bahawa kajian menunjukkan bahawa pelajar yang bermain catur sering kali mempunyai kelebihan dari segi kebolehan dalam mata pelajaran matematik dan penguasaan mata pelajaran bahasa.

Pengiran Haji Suhaimi menyampaikan hadiah kepada juara kategori sekolah, Sekolah Menengah Muda Hashim, Tutong.
Pengiran Haji Suhaimi menyampaikan hadiah kepada juara kategori sekolah, Sekolah Menengah Muda Hashim, Tutong.

Beliau turut menyatakan bahawa para peserta yang menyertai kejohanan itu yang berpotensi boleh menyertai kelab catur di bawah Persekutuan Catur Brunei di mana bakat mereka boleh digilap supaya mereka mampu mewakili negara dalam kejohanan serantau dan antarabangsa.

Haji Zainal Abidin turut berkata bahawa terdapat kejohanan catur akan diadakan pada 1 November nanti di Times Square, Berakas. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada guru-guru dan diikuti dengan hadiah para pemenang kejohanan oleh Pengiran Haji Suhaimi.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan di kejohanan itu dengan Kategori Bawah 12 Tahun dijuarai oleh Halimizain Mohammad Al-Farobi Makmun dengan tempat kedua ialah Muhammad Siddiq Alminsyawi dan tempat ketiga pula ialah Effa Natasha Haji Kipli.

Dalam Kategori Terbuka, juara disandang oleh Alif Shamari Akmal Samsul diikuti oleh Muhammad Amin Alias di tempat kedua dan Syasya Badrina Badarudin di tempat ketiga manakala Kategori Pasukan Sekolah dijuarai oleh Pasukan Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong diikuti oleh Sekolah Menengah Jamalul Alam di tempat kedua dan Sekolah Rendah Mulaut di tempat ketiga.

ARTIKEL YANG SAMA