SM PAPHM, MSPSBS johan Bola Jaring

SM PAPHM, MSPSBS johan Bola Jaring

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna (SM PAPHM) dan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS) masing-masing muncul juara Kategori B dan Kategori C Kejohanan Bola Jaring Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Kawasan Zon 2 Negara Brunei Darussalam 2015.

Perlawanan akhir pertama menyaksikan SM PAPHM menang 14-8 ke atas SM Rimba dalam Kategori B, manakala MSPSBS menidakkan kejuaraan berganda SM PAPHM apabila menewaskan pasukan Kategori C sekolah berkenaan 21-7 untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.

Tempat ketiga bersama Kategori B dimenangi SM Katok dan SM Pehin Datu Seri Maharaja (PDSM) Mentiri, sementara Pusat Tingkatan Enam (PTE) Meragang dan SM Rimba II memenangi tempat ketiga bersama Kategori C.

Hadir ke Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) menyaksikan perlawanan dan menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pengetua PTE Meragang, Pengiran Hajah Maimunah binti Pengiran Haji Osman.

Beliau telah turut menyampaikan Anugerah Pemain Terbaik kedua-dua kategori bermula dengan Kategori B kepada Nur Atikah Nabilah Thane binti A Farid Shafiq, pemain tengah (Centre – C) SM PAPHM dan kepada penyerang gol (Goal Attack – GA) MSPSBS, Siti Nur Haziqah binti Mazlani bagi Kategori C.

SM PAPHM (biru), juara Kategori B dan MSPSBS, juara Kategori C bergambar bersama tetamu kehormat (belakang, tujuh kanan).
SM PAPHM (biru), juara Kategori B dan MSPSBS, juara Kategori C bergambar bersama tetamu kehormat (belakang, tujuh kanan).

Final Kategori B menyaksikan SM PAPHM mendahului SM Rimba 6-2 selepas suku masa pertama, namun suku masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan hanya berjaya menambah satu jaringan untuk selesai 7-3.

SM PAPHM di depan 11-5 selepas suku masa ketiga disusuli persaingan sengit suku masa keempat yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 3-3 untuk selesai 14-8 yang memihak kepada SM PAPHM.

Pada final Kategori C pula, MSPSBS berada di depan dengan 5-2 pada suku masa pertama, kemudian 11-3 pada suku masa kedua, sebelum menambah tujuh gol lagi berbanding tiga gol buat SM PAPHM untuk menjadi 18-6 pada suku masa ketiga.

Tiga gol berjaya dijaringkan oleh MSPSBS pada suku masa keempat tetapi SM PAPHM hanya menjaringkan satu gol untuk keputusan muktamad 21-7 memihak kepada MSPSBS.

ARTIKEL YANG SAMA