SM PAPHR adakan latihan kebakaran

SM PAPHR adakan latihan kebakaran

Oleh Hjh Saemah Kepli

SERIA, 6 Jun – Kejadian kebakaran ke atas sebuah tandas sekolah telah mengakibatkan tiga warga sekolah terperangkap ekoran terhidu bau asap yang tebal, ekoran kejadian itu, tiga buah jentera bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian dan mangsa telah berjaya diselamatkan.

Kejadian tersebut merupakan senario Latihan Kebakaran yang diadakan di Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah (SM PAPHR) di sini, yang melibatkan sebelas orang daripada anggota Balai Bomba Sungai Liang, diketuai oleh Timbalan Pegawai Balai Muhd Sadiy bin Abdullah.

Latihan tersebut bertujuan untuk memberikan kesedaran dan kecekapan kepada warga sekolah termasuk pelajar-pelajar dan guru-guru serta warga sekolah,  untuk bertindak pantas dan cekap dalam mengosongkan bangunan sekolah serta mengikuti cara yang betul jika mendengar siren kecemasan dibunyikan.

Lebih 800 pelajar di samping 16 kakitangan sekolah yang terlibat mengikuti latihan tersebut dan ianya menunjukkan kecekapan semasa senario mengosongkan bangunan sekolah dengan mengikut prosedur yang betul.

Pegawai Balai, Awang Muhammad Ali Hassan memberitahu, kejayaan tersebut adalah ekoran daripada perlaksanaan uji cuba yang telah dilakukan melalui Projek Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC), Jabatan Bomba dan Penyelamat sebagai pemantauan berterusan kepada pihak sekolah.

Guru-guru dilatih untuk memainkan peranan sama semasa berlakunya sebarang kejadian kecemasan bersama anggota bomba.
Guru-guru dilatih untuk memainkan peranan sama semasa berlakunya sebarang kejadian kecemasan bersama anggota bomba.
Mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dan Penyelamat dalam Latihan Kebakaran di Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Lumut.
Mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dan Penyelamat dalam Latihan Kebakaran di Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Lumut.

“Warga sekolah telah membuat tindakan yang betul mengikut peraturan dan ini adalah sebagai solusi Projek Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) bagi meningkatkan kesedaran pihak sekolah melalui penyampaian taklimat dan tunjuk ajar tatacara mengosongkan bangunan semasa berlakunya kecemasan di sekolah-sekolah,” katanya.

Menurutnya lagi projek KKC telah dilakukan di kesemua sekolah rendah dan menengah di Mukim Liang di bawah tadahan Bomba Sungai Liang, seperti Sekolah Rendah Lumut, Sekolah Chung Lian, Sekolah Rendah Sungai Tali, Sekolah Rendah Sungai Liang dan Sekolah Menengah PAP Hajah Rashidah Lumut.

Beliau juga menjelaskan bahawa sebelum projek itu dilaksanakan, para guru, pelajar dan warga sekolah mempunyai kurang pengetahuan dalam membuat tindakan jika berlakunya sebarang kejadian kecemasan.

“Alhamdulillah sebaik saja diberikan taklimat realiti pihak sekolah dapat membuat tindakan yang betul seperti membunyikan siren, membawa pelajar keluar, membuat perhitungan, berlari dengan selamat ketempat kawasan berkumpul secara tempoh masa yang ditetapkan iaitu tidak melebihi lima minit, serta menutup mana-mana suis, lampu dan terus menghubungi talian 995,” ujar Awang Muhammad Ali.

Hadir semasa latihan tersebut ialah Pengetua Sekolah berkenaan, Dayang Haliza binti Haji Kepli, dan juga Timbalan Pengetua, Awang Nazli Noor bin Haji Marmin, serta ahli-ahli Kumpulan KKC penyelamat yang diketuai oleh Awang Muhamad Ali bin Haji Hamran.

ARTIKEL YANG SAMA