SM Rimba Al-Ikmu Biz Zikr

SM Rimba Al-Ikmu Biz Zikr

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Pengisytiharan Sekolah Menengah Rimba Al-Ikmu Biz Zikr sangat sesuai dengan sekolah berkenaan yang telah mengalami perubahan dari segi pengisian kerohanian melalui program Modal Insan Generasi Calak Brunei, di samping amalan membaca zikir sebelum memulakan pembelajaran.

Ia diisytiharkan dalam Majlis Khatam Al-Quran, Sambutan Nuzul Al-Quran dan Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Sekolah Menengah Rimba Tahun 2015, yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, hari ini.

Pengetua SM Rimba, Haji Malai Shah Eran bin Syed Hj Yusof , semasa berucap di majlis itu menjelaskan program Modal Insan Generasi Calak Brunei diisi dengan lagu kebangsaan, doa sekolah, bacaan Asmaa’ul husna, Zikir Taubat, doa iman dan juga Surah Toha dan seterusnya aktiviti pelajar.

Tidak ketinggalan juga mengadakan solat sunat Duha dan Hajat secara berjemaah setiap hari dan pembacaan Al-Quran setiap hari Khamis.

Sebagai amalan harian sebelum memulakan pembelajaran doa sekolah, Asma Ul Husna, Zikir Taubat, Doa Iman dan Surah Toha dibacakan di samping Solat Doha dan Solat Hajat.

Antara peserta perempuan yang diraikan di Majlis Khatam Al-Quran SM Rimba.
Antara peserta perempuan yang diraikan di Majlis Khatam Al-Quran SM Rimba.

Di samping amalan harian, Tadarus Al-Quran di setiap kelas, membaca Yasin dan tahlil juga diadakan setiap hari Khamis, begitu juga Tadarus Al-Quran setiap bulan Ramadan khususnya bagi pelajar Tahun 11 dan umumnya bagi setiap warga sekolah ini.

Amalan zikir di sekolah berkenaan bukanlah perkara baru tetapi telah pun diamalkan sejak pentadbiran mantan pengetua sekolah, Dayang Siti Hawa binti Haji Mat Noor.

Haji Malai Shah Eran berkata beberapa aktiviti lain juga ditambah terutama pada bulan Ramadan tahun ini seperti Program SMR Meraih Berkat Ramadan iaitu Tadarus bagi pelajar Tahun 11, Program
SMR Meniti Sinar Ramadan iaitu MIGCB setiap hari yang diisi dengan solat sunat Duha, solat sunat Hajat dan bacaan Al-Quran setiap hari dan juga program SMR Kasih Ramadan iaitu sedekah barang-barang keperluan asas kepada pelajar di bawah Skim Miftaahun Najaah.

Beliau dalam ucapannya juga mengucapkan ribuan terima kasih di atas pengurniaan wakaf daripada ahli majlis perwakilan kampung yang telah menyumbangkan sebanyak 200 naskhah Al-Quran dan 20 buah rehal.

Majlis berkenaan juga diserikan dengan ceramah bertajuk “Al-Quran Penawar Hati” yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Dayang Norhayati binti Haji Abdul Rahman, sebelum penyampaian derma kepada anak-anak yatim yang bersekolah di sekolah berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA