SM Rimba II, SM Lambak Kiri juara takraw

SM Rimba II, SM Lambak Kiri juara takraw

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Sekolah Menengah (SM) Rimba II dan SM Lambak Kiri muncul juara masing-masing dalam Kategori C dan Kategori B Kejohanan Sepak Takraw Antara Sekolah-Sekolah Menengah/Maktab-Maktab Negara Brunei Darussalam Bagi Zon II, 2016.

SM Rimba II merangkul kejuaraan kategori bawah 18 tahun itu selepas bersaing hebat sebelum menang dua set berbalas satu iaitu dengan kiraan mata 24-22, 19-21 dan 21-7 ke atas SM Pehin Datu Seri Maharaja (PDSM) Mentiri di gelanggang akhir.

Sementara mahkota kejuaraan kategori bawah 15 tahun menjadi milik SM Lambak Kiri menerusi kejayaannya menundukkan SM PDSM Mentiri dalam pertarungan hebat final yang memerlukan set ketiga sebagai penentuan.

SM Lambak Kiri menang dengan kiraan mata 17-15, 16-17 dan 15-6.

Juara Kategori B, SM Lambak Kiri (merah) dan Juara Kategori C, SM Rimba II (kuning).
Juara Kategori B, SM Lambak Kiri (merah) dan Juara Kategori C, SM Rimba II (kuning).

Kedua-dua anugerah individu tersedia iaitu Pemain Terbaik dari setiap kategori telah dimenangi pemain dari pasukan juara iaitu Mohd Nur Hafizullah bin Hafni daripada SM Lambak Kiri bagi Kategori B dan Mohd Radi Izreen bin Abdul Azim dari SM Rimba II bagi Kategori C.

Kedua-dua pingat gangsa iaitu bagi Kategori B dan C bagi kejohanan yang berlangsung di Sekolah Sukan, Kampung Pulaie berkenaan telah dimenangi oleh sekolah tuan rumah iaitu SM Sultan Sharif Ali (SSA), Salambigar.

Menyaksikan kedua-dua perlawanan akhir dan kemudiannya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan, Awang Roslin bin Suhailee.

Tahun ini, kejohanan tahunan anjuran JPKK, Kementerian Pendidikan itu telah dikendalikan oleh SM SSA, Salambigar.

ARTIKEL YANG SAMA