SM Rimba kenang ‘Heroes’

SM Rimba kenang ‘Heroes’

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Wani Roslan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Pelajar yang menjadi wakil sekolah dalam pertandingan atau perlawanan dalam dan luar negara diraikan dalam majlis Sekolah Menengah Rimba Heroes 2015 (SMR Heroes) di dewan serba guna sekolah itu hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Memerintah Pasukan Kadet Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kapten Hasnan bin Haji Manan yang turut menyampaikan sijil bagi pasukan beruniform, wakil sekolah dan sijil penghargaan serta penyampaian hadiah.

Turut hadir ialah Pengetua SMR, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof yang dalam ucapannya di majlis itu menyentuh serba sedikit mengenai Program Heroes itu. Ia merupakan acara tahunan sekolah yang menghargai perkembangan aspek kokurikulum sebagai sesuatu yang penting bagi para pelajar.

Menurutnya, melalui program itu, pelajar dapat mengimbangi antara pembelajaran dalam bidang akademik dan bukan akademik.

Salah seorang pelajar menerima hadiah.
Salah seorang pelajar menerima hadiah.

“Dalam Program Heroes, pelajar mengasah kemahiran yang tidak terdapat dalam sukatan pelajaran dan telah berjaya membudayakannya secara bersistematik, sehingga mencapai objektif pelaksanaannya dengan memberikan setiap pelajar peluang untuk mengikuti kelab-kelab yang ditawarkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pelajar agar merebut peluang menyertai Heroes dan meraih kemahiran, pengetahuan, pengalaman dan kemajuan dalam kelab-kelab di bawah Heroes ini.

Menurutnya lagi, ibu bapa dan pelajar tidak seharusnya beranggapan bahawa Program Heroes ini hanya kosong tanpa matlamatnya dan hanya membuang masa, kerana ia sebenarnya memberikan nilai tambah kepada kemandirian pelajar.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Gulintangan dan tarian, koir dan tayangan slaid aktiviti bagi tahun 2015.

ARTIKEL YANG SAMA