SM RIPAS ungguli Futsal Zon III

SM RIPAS ungguli Futsal Zon III

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Kejohanan Futsal bagi kawasan Zon III Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab 2016 bagi Daerah Tutong, anjuran Jabatan Pendidikan Ko-Kurikulum telah membuka tirainya
kelmarin di Gelanggang Futsal, Unit Pembangunan Perumahan Bukit Beruang, Tutong.

Hadir bagi merasmikan kejohanan tersebut ialah Timbalan Pengetua (Pentadbiran) Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong, Awang Al-Masri bin Haji Sulaiman dan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Kokurikulum yang akan diadakan selepas waktu sekolah sehingga Sabtu ini.

Acara yang diadakan selepas waktu sekolah itu bertujuan untuk mengenal pasti bakat-bakat berpotensi dalam kalangan belia untuk mewakili negara dalam kejohanan futsal peringkat antarabangsa.

Menurut kenyataan di sini, dua kategori dipertandingkan dalam kejohanan itu, kategori pertama (Kategori B) bagi bawah 15 tahun dan kedua (Kategori C) bagi yang berumur antara 16 dan 18 tahun. Kategori pertama akan melibatkan lapan buah sekolah, sementara Kategori C mempertandingkan 10 buah sekolah.

Dua kolej tingkatan enam juga telah mendaftar bagi Kategori C iaitu PTE Tutong dan PTE Sengkurong.Sekolah-sekolah menengah yang turut serta termasuk Sekolah Antarabangsa Brunei, SM Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), SM Muda Hashim, SM Tanjong Maya, SM Sayyidina Othman, SM Sayyidina Husain, SM Sayyidina Hassan, SM Masin dan Mahad Islam Brunei.

Salah satu aksi perlawanan pada kejohanan itu.
Salah satu aksi perlawanan pada kejohanan itu.

Perlawanan-perlawanan pembukaan kelmarin bagi Kategori C menyaksikan SM RIPAS mengungguli Kumpulan A dengan 12 mata selepas menewaskan tiga pasukan lainnya dalam kumpulan itu. SM Muda Hashim pula di tangga kedua dengan sembilan mata dari tiga kemenangan dan satu tewas. SM Sayyidina Hussain di depan Mahad Islam Brunei di tangga ketiga dengan kelebihan jaringan.

SM RIPAS menewaskan Mahad Islam Brunei 3-1 dan menang tipis ke atas SM Muda Hashim dan SM Sayyidina Husain 1-0.

Dalam perlawanan kumpulan lain, SM Muda Hashim membelasah Mahad Islam Brunei 4-0, menang 3-2 ke atas SM Sayyidina Husain namun tewas 1-0 dalam perlawanan sengit menentang SM RIPAS.

Perlawanan-perlawanan lain bagi kumpulan dalam Kategori C dan Kategori B akan bermula hari ini dan diteruskan esok, dengan perlawanan akhir bagi Kategori B dan C akan dipertandingkan pada Sabtu.

ARTIKEL YANG SAMA