SM Sayyidina Abu Bakar anjur pasar amal

SM Sayyidina Abu Bakar anjur pasar amal

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Sebagai salah satu cara untuk menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar (SMSAB) melalui Jabatan Perkhidmatan Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya kelmarin mengadakan Program Pasar Amal “Ás-Souq Al-Majani’’ kali kedua di dewan sekolah berkenaan.

Perasmian pasar amal itu telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Pelajaran Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar di Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Saili bin Haji Chuchu selaku tetamu kehormat.

Pasar amal itu merupakan salah satu aktiviti khidmat masyarakat Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Kumpulan Bertindak (A-Team) SMSAB di bawah bimbingan Jabatan Perkhidmatan Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya.

Ia diilhamkan untuk memberi peluang kepada penuntut-penuntut sasaran iaitu penuntut skim Miftahuun Najaah, Tabung Kebajikan Penuntut dan anak-anak yatim menerima sumbangan.

Lebih 300 orang murid termasuk 245 orang murid penerima Skim Miftahuun Najaah dan 38 oang anak yatim, enam orang dari Tabung Kebajikan Penuntut dan 30 orang murid dari salah sebuah sekolah tadahan, Sekolah Rendah Dato Basir, telah menerima sumbangan berbentuk kupon.

Haji Saili selaku tetamu kehormat merasmikan pasar amal di SMSAB kelmarin.
Haji Saili selaku tetamu kehormat merasmikan pasar amal di SMSAB kelmarin.
Pelajar dan warga SMSAB yang terlibat dalam pasar amal bergambar ramai dengan tetamu kehormat.
Pelajar dan warga SMSAB yang terlibat dalam pasar amal bergambar ramai dengan tetamu kehormat.

Dengan kupon tersebut, para penerima seterusnya memilih sendiri barang-barang yang disediakan melalui pasar amal sama ada memilih barang keperluan harian, makanan, atau alat tulis dan pakaian.

Antara objektifnya adalah untuk melatih ahli-ahli PRS dan A-Team dengan sifat dan sikap kepimpinan, memupuk sikap tolong-menolong, bekerjasama sesama ahli dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan secara sistematik dan teratur.

Selain itu, pasar amal ini menggunakan kaedah aktiviti khidmat masyarakat sebagai salah satu cara menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan serta mengeratkan silaturahim di antara warga sekolah sama ada penyumbang ataupun penerima.

Di samping itu, melalui pasar amal ini, ia akan mendokong hasrat Jabatan Perkhidmatan Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya SMSAB untuk melahirkan ahli PRS dan A-Team yang berkaliber dan berwibawa di samping mempunyai sifat-sifat positif yang dikehendaki sejajar dengan objektif penubuhan PRS dan A-Team.

ARTIKEL YANG SAMA