SM Seri Mulia Sarjana juara BEES 2.0

SM Seri Mulia Sarjana juara BEES 2.0

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) hari ini memeterai perjanjian bagi Skim Pendidikan Keusahawanan Brunei (BEES) versi kedua pada majlis yang turut diselajurkan dengan Konvensyen BEES 2016 (BEES 2.0).

Majlis penandatanganan tersebut berlangsung di Dewan Indera Samudra, Empire Hotel & Country Club dengan disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Pada majlis itu, lima buah sekolah telah bertanding dalam pusingan akhir BEES 2.0, di mana pasukan Sekolah Menengah (SM) Seri Mulia Sarjana diumumkan sebagai juara yang membawa pulang wang tunai $1,000 dan sijil.

Manakala itu, tempat kedua pula dimenangi oleh pasukan SM Sultan Sharif Ali yang menerima $750 berserta sijil dan pasukan SM Chung Hwa menduduki tempat ketiga dengan menerima wang tunai $500 berserta sijil.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dengan diiringi oleh Timbalan Pengarah Urusan BSP, Haji Kamaludin bin Haji Bungsu.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan BEES 2.0.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan BEES 2.0.
Wakil UBD dan BSP bertukar dokumen perjanjian disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin.
Wakil UBD dan BSP bertukar dokumen perjanjian disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin.

Produk dan perkhidmatan dihasilkan oleh para peserta dihakimi melalui empat kriteria seperti penjelasan, potensi pasaran dan kelebihan daya saing, kreatif dan inovasi, serta kemahiran dan keyakinan.

Menurut kenyataan yang diberikan, Program BEES dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan, LiveWIRE di bawah Syarikat BSP dan UBD, yang mana versi pertama program ini telah diperkenalkan pada tahun 2011, setelah memorandum persefahaman ditandatangani di antara ketiga-tiga pihak berkenaan.

BEES versi 2.0 pula merupakan program yang dinaik taraf, direka bentuk bagi memupuk, membangun dan merangsang sikap berdaya saing para pelajar sekolah menengah melalui pendekatan sistematik dengan menumpukan tiga elemen iaitu pemikiran keusahawanan, pengetahuan pragmatik dengan penerapan dan melahirkan pelajar-pelajar keusahawanan yang pintar akal dan berdaya tahan.

Pengarah Eksekutif Projek Agenda Keusahawanan Kebangsaan, UBD, Awang Adna Shatriremi bin Haji Abdul Rahman semasa ditemu bual berkata, BEES 2.0 yang dijalankan selama tiga tahun menumpukan kepada pelajar Tahun 9 dan 10, yang ditaja oleh LiveWIRE BSP sebagai program versi kedua.

Program 2.0 ini juga ditubuhkan untuk membimbing para pelajar dalam memahami selok-belok perniagaan melalui aktiviti praktikal dan mentor oleh UBD bagi memupuk kesedaran supaya mereka lebih bebas dan pintar.

Selain itu, program diharap agar dapat memberi inspirasi dalam mendidik para belia untuk belajar dan memahami konsep perniagaan.

LiveWIRE Brunei merupakan pelaburan sosial BSP yang bertujuan untuk membantu mempersiapkan, membimbing serta melatih usahawan-usahawan masa kini dan akan datang.

Ini merupakan komitmen BSP untuk membangun keupayaan, kebolehan serta daya saing perniagaan tempatan demi kemapanan jangka masa panjang terutama sekali ekonomi sektor swasta di Negara Brunei Darussalam.

LiveWIRE merupakan bahagian penting bagi BEES versi pertama, yang mana mereka memberi bimbingan dan sokongan berterusan hingga ia berjaya dilancarkan.

ARTIKEL YANG SAMA