SM Temasek S’pura lawat Brunei Press

SM Temasek S’pura lawat Brunei Press

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Seramai 20 orang pelajar bersama dua orang guru dari Sekolah Menengah Temasek, Singapura, petang tadi membuat lawatan ke Brunei Press

Sdn Bhd bagi Program Penyerapan Kebudayaan Brunei.

Ketibaan rombongan yang diketuai oleh Ketua Kebajikan Pelajar, Sahriana Rani telah dialu-alukan oleh Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Reggie See serta para pegawai kanan lainnya.

Reggie See bersama rombongan SM Temasek sempat merakamkan kenangan semasa kunjungan mereka ke Brunei Press Sdn Bhd.
Reggie See bersama rombongan SM Temasek sempat merakamkan kenangan semasa kunjungan mereka ke Brunei Press Sdn Bhd.

 

Reggie See semasa menunjukkan bahagian arkib perpustakaan kepada ahli rombongan. – Gambar oleh Azrol Azmi
Reggie See semasa menunjukkan bahagian arkib perpustakaan kepada ahli rombongan. – Gambar oleh Azrol Azmi

Lawatan telah dimulakan dengan tayangan klip video sejarah penubuhan Brunei Press dan taklimat mengenai fungsi-fungsi serta tugas yang dijalankan di syarikat berkenaan, yang disampaikan oleh Reggie See, disusuli dengan sesi soal jawab.

Rombongan kemudiannya berpeluang untuk melawat bahagian arkib perpustakaan, kawasan mesin percetakan dan bahagian editorial bagi menyaksikan secara lebih dekat tugas-tugas yang dijalankan sebagai sebuah syarikat penerbitan media cetak.

Menurut Sahriana Rani, rombongan berada di Brunei selama lima hari bermula kelmarin sehingga 4 Jun di mana mereka berpeluang untuk melawat ke tempat-tempat menarik di negara ini.

Lawatan ini, jelasnya, akan dapat memberi manfaat kepada para pelajar untuk mengenali lebih dekat mengenai industri persuratkhabaran serta kerjaya kewartawanan. Ia turut mem-beri inspirasi kepada pelajar-pelajar yang berminat menyertai kerjaya kewartawanan di negara mereka.

Manakala itu, dua orang wakil rombongan berkenaan, Nurin Shahirah binti Abdul Latiff dan Nur Sabrina binti Mohamad Fauze, masing-masing melahirkan perasaan teruja dan gembira kerana telah diberikan peluang untuk melawat sebuah syarikat media cetak terulung di negara ini.

Ini merupakan kali pertama mereka menjejakkan kaki ke negara ini dan lawatan tersebut telah memberikan kefahaman kepada mereka tentang cara-cara penerbitan media cetak dan tugas-tugas sebagai seorang wartawan.

Lawatan itu bertujuan untuk memberikan kefahaman dan maklumat kepada para pelajar di luar negara mengenai bidang percetakan di negara ini, di samping memupuk kemahiran pelajar yang berminat dalam bidang berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA