SM Tg Maya juara PRYNSA

SM Tg Maya juara PRYNSA

Oleh Sim Y. H.

Gambar Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Projek saintis-saintis muda dari Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong mengenai dengan kajian terhadap lebah tanpa penyengat di kawasan Brunei serta komposisi madu asli, bukan sahaja menambat hati panel hakim tetapi ia juga dipilih sebagai juara Anugerah Saintis Muda Alam Semula Jadi Puteri Rashidah (PRYNSA) ke-18, hari ini.

Berkenan berangkat untuk menyempurnakan penganugerahan hadiah kepada para pemenang ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Penaung Diraja PRYNSA pada majlis yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Berangkat sama ke majlis berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah.

Keberangkatan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dijunjung oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pandu PRYNSA, Setiausaha Tetap, Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali, Timbalan Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Haji Kamaludin bin Haji Bungsu dan Pemangku Pengarah Perhutanan, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim.

Di majlis berkenaan, sebanyak lima pasukan yang dipilih untuk menyertai pusingan akhir pertandingan menyampaikan pembentangan mengenai projek masing-masing di mana lima pasukan itu ialah Sekolah Menengah Menglait, Gadong dengan projek, ‘A Survey of Common Bird Species/Families in the Muara District Using Various Bird Watching Techniques’, Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong dengan projek, ‘A Study of Stingless Bees in Meliponiculture Area of Brunei Darussalam and the Physicochemical Composition of their Natural Honey’, Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan dengan projek, ‘The Ecological and Socio-Economic Importance of Water Lily (Genus: Nymphaea) in Brunei Fresh Water Ecosystem’, Sekolah St John’s, Kuala Belait dengan projek, ‘To Study the Effect of Economically Viable Species of Ferns based on the Distribution in the Rasau Area (Kuala Belait) and Ways of Conserving them for the Benefit of the Future Generation’ dan Sekolah Menengah Awang Semaun, Sungai Kebun dengan projek, ‘Biological Studies of Mud Crabs (Scylla Serata) at Kampung Sungai Asam’.

YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah semasa berkenan berangkat ke majlis tersebut.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah semasa berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama juara PRYNSA ke-18, peserta Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong.
Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama juara PRYNSA ke-18, peserta Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong.

Pasukan Sekolah Menengah Tanjong Maya dinobatkan Juara PRYNSA ke-18 dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai $4, 000, piala rebutan, piala individu dan sijil, manakala tempat kedua ialah Sekolah Menengah Chung Hwa, yang membawa pulang hadiah wang tunai $3, 000, piala individu dan sijil dan tempat ketiga ialah Sekolah Menengah Awang Semaun, yang membawa pulang hadiah wang tunai $2,000, piala individu dan sijil.

Sementara itu, Sekolah Menengah Menglait, dan Sekolah St John’s, membawa pulang hadiah sagu hati berupa wang tunai $1, 000, piala individu dan sijil. Hadiah-hadiah bagi PRYNSA ditaja oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) yang telah menjadi penaja bersama PYRNSA dengan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan sejak 1997 yang dihasratkan untuk menjana kecemerlangan dalam kalangan generasi muda.

Anugerah berprestij itu merupakan satu pertandingan tahunan yang dibukakan kepada semua sekolah menengah di seluruh negara di mana sekolah-sekolah akan menyampaikan cadangan projek mereka dan hanya lima projek sahaja dipilih untuk bertanding di peringkat akhir.

Setiap pasukan yang memasuki peringkat akhir akan menyampaikan laporan penyelidikan dan membentangkan projek mereka di hadapan panel hakim yang diketuai oleh Jabatan Perhutanan serta hakim-hakim pelbagai kepakaran dari institusi, agensi-agensi kerajaan dan persatuan bukan kerajaan yang relevan.

Ketua Pasukan Sekolah Menengah Tanjong Maya, Ali Akmal bin Haji Ali Akbar menyatakan kepada Media Permata, mereka sepasukan tidak menyangka projek lebah kelulut itu membawa tuah dan dipilih oleh panel hakim bagi menjuarai PRYNSA ke-18.

Beliau berkata bahawa mereka sekumpulan amat gembira dan terharu dengan kemenangan itu di mana mereka mendapat sokongan yang tak terhingga bukan sahaja daripada pihak sekolah dan guru-guru pengawas tetapi juga rakan-rakan sekolah dan ahli-ahli keluarga mereka.

Mereka menyatakan lagi bahawa pelbagai cabaran perlu dilalui sepanjang tempoh kajian projek berkenaan dan cabaran-cabaran serta rintangan yang dihadapi merupakan satu pengajaran bagi mereka semua untuk terus menguatkan semangat kerja berpasukan serta belajar untuk berdikari.

Menerangkan ringkas mengenai projek itu, Awang Ali Akmal berkata bahawa madu daripada lebah kelulut hanya mendapat perhatian masyarakat dalam beberapa tahun kebelakangan ini di mana kajian yang dijalankan melalui projek itu bermatlamat untuk menambah lagi pangkalan data mengenai diversiti spesies lebah kelulut di Brunei serta juga untuk mempromosikan pemuliharaan lebah-lebah kelulut berkenaan dengan melindungi habitat dan penggunaan sumber berkenaan secara mapan.

Pasukan Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong dianggotai oleh lapan orang pelajar Tahun 10 iaitu Awang Ali Akmal, Dayang Rina Asyhikin binti Rafpin, Dayang Nina Natasya Phua, Awang Nazrin Yong, Dayang Peimelsherra anak Peranchis, Dayang Lennette anak Mat, Dayang Ezza binti Bastiar dan Awang Addy Adzwan bin Ariffin.

Manakala guru-guru pengawas bagi pasukan berkenaan ialah Hajah Nur Hamizah binti Haji Samihon dan Awang Mohamad Azri bin Abdullah.

ARTIKEL YANG SAMA