SMALHB anjur aktiviti riadah, kemasyarakatan

SMALHB anjur aktiviti riadah, kemasyarakatan

LEBIH 350 warga Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), baru-baru ini, telah menyertai aktiviti riadah berbentuk ilmiah dan kemasyarakatan di Pantai Muara bagi mengurangkan tekanan para pelajar setelah menghadapi peperiksaan Pra Stpub yang baru saja berakhir.

Aktiviti dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh ahli Majlis Pelajar sesi 2016/2017, yang diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan taklimat ringkas dari bahagian pentadbiran SMALHB.

Acara senamrobik menyusuli selepas itu dengan kerja gotong-royong membersihkan pantai beramai-ramai bagi memupuk kesedaran para pelajar akan kepentingan menjaga dan mencintai alam sekitar sehingga mewujudkan persekitaran yang bersih dan sesuai dengan kehendak Islam.

Setelah itu para pelajar dilatih untuk bekerjasama secara berkumpulan iaitu melalui aktiviti kerja berpasukan yang dikendalikan di bawah pengawasan Jabatan Lughah Arabiah, Jabatan Syariah dan Jabatan Usuluddin sekolah berkenaan.

Para pelajar bekerjasama membersihkan kawasan pantai Muara.
Para pelajar bekerjasama membersihkan kawasan pantai Muara.

Semua pelajar kelas Pra U1 terlibat dalam aktiviti ini dengan Kelas Pra U1 Syariah Ibnu Umar muncul juara dalam aktiviti yang dianjurkan, sementara, naib juara disandang oleh Kelas Pra U1 Usuluddin Ibnu Rusydi dan tempat ketiga pula disandang oleh Kelas Pra U1 Usuluddin Ibnu Kathir.

Aktiviti ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan silaturahim warga sekolah berkenaan dan memberi peluang kepada para pelajar untuk menyumbangkan tenaga kepada masyarakat serta menanamkan sifat bergotong-royong dan menanam sifat kepimpinan dalam diri pelajar. Di samping itu, ia dapat merehatkan minda pelajar dan mengurangkan stres selepas menduduki peperiksaan yang lalu.