SMALHB lancar walkaton amal

SMALHB lancar walkaton amal

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Dalam usaha untuk mempromosikan cara hidup yang sihat dengan cara bersenam sambil beramal selaras dengan tuntutan Sunah Rasulullah S.A.W, Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) akan mengadakan Walkaton Amal sempena ulang tahun penubuhan ke-50 tahun sekolah berkenaan pada 6 Mac ini.

Sehubungan itu, Majlis Pelancaran Walkaton Amal tersebut telah diadakan hari ini di dewan serba guna sekolah berkenaan yang disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Pengajian Islam (JPI), Hajah Rusita binti Haji Yahya yang juga selaku tetamu kehormat majlis.

Walkaton amal yang akan berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah bermula 7 pagi itu dibukakan kepada semua warga SMALHB sahaja termasuk alumni dan bekas pegawai, guru, kakitangan, pelajar serta ahli keluarga warga sekolah berkenaan.

Dua kategori akan dibukakan iaitu 5km bagi peserta lelaki dan 3km bagi peserta perempuan.

Antara jemputan khas semasa pelancaran walkaton amal itu.
Antara jemputan khas semasa pelancaran walkaton amal itu.
Antara pelajar SMALHB yang hadir pada majlis itu.
Antara pelajar SMALHB yang hadir pada majlis itu.

Pendaftaran bagi acara tersebut bermula hari ini (25 Januari) hingga 6 Februari 2016 dengan bayaran penyertaan sebanyak $30.

Borang penyertaan bolehlah diperoleh di pejabat pentadbiran SMALHB pada waktu bekerja atau menghubungi talian 2222077/8.

Menurut penerangan semasa majlis pelancaran walkaton amal tersebut, hasil kutipan daripada acara berkenaan akan diagihkan kepada beberapa orang penerima atau tabung kebajikan yang telah disenaraikan oleh pihak sekolah.

Selain daripada itu, ia juga diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan tali silaturahim dalam kalangan warga dan alumni SMALHB.

ARTIKEL YANG SAMA