SMALHB semarakkan ibadah korban

SMALHB semarakkan ibadah korban

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), baru-baru ini, telah mengadakan Majlis khatam Al-Quran dan Majlis Ibadah Korban bersempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 dan Hari Raya Aidiladha.

Pada majlis yang diungkayahkan oleh Unit Rohani dan Jabatan Al-Quran, Hadis dan Amali Ibadat, SMALHB, itu dua ekor sapi telah dikorbankan dan diagihkan kepada 35 orang penerima yang berhak (kurang berkemampuan) daripada kalangan pelajar dan warga sekolah berkenaan.

Acara dimulakan dengan Majlis Khatam Al-Quran yang diteruskan dengan Takbir Hari Raya Aidiladha beramai-ramai yang dipimpin oleh Haji Aji bin Haji Hamdan.

Hajah Norjainah menyampaikan daging-daging korban kepada salah seorang penerima.
Hajah Norjainah menyampaikan daging-daging korban kepada salah seorang penerima.

Majlis turut diisi dengan tazkirah Aidiladha yang disampaikan oleh Dayang Hamid Norni binti Hamid dan diteruskan dengan pengagihan daging-daging korban oleh Pemangku Pengetua SMALHB, Hajah Norjainah binti Haji Buntar.

Adapun tujuan majlis diadakan adalah bagi menanamkan sifat rajin membaca Al-Quran dalam kalangan pelajar di samping beramal dan mendekatkan diri kepada Allah dengan menjalankan ibadah korban serta mengagihkan daging-daging korban kepada yang berhak menerima dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA