Smalling hargai sumbangan LVG

Smalling hargai sumbangan LVG

CHANTILLY, Perancis, 9 Jun – Tonggak pertahanan Manchester United, Chris Smalling memberi penghormatan kepada Louis van Gaal, semalam kerana membantu dirinya menjadi pemain pilihan dalam kesebelasan utama untuk kelab dan negara. United mengadakan majlis perpisahan dua tonggak pertahanan, Rio Ferdinand serta Nemaja Vidic sebaik kedatangan Van Gaal pada 2014 dan apabila dia mahu membentuk empat pemain pertahanan baharu, Smalling menjadi pilihan utamanya.

Dengan Smalling mengetuai benteng pertahanan, The Red Devils mempunyai rekod pertahanan terbaik dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu dan biarpun Van Gaal dipecat serta digantikan dengan Jose Mourinho namun Smalling bersyukur di atas usaha dilakukan pengendali dari Belanda itu.

“Ia adalah sesuatu yang hebat dapat bekerja dengan Louis dan dapat beraksi dalam banyak perlawanan. Mengenali Louis, dia adalah individu yang sangat taktikal.

“Di sebalik prestasi tidak menentu musim lalu, secara keseluruhannya kami dalam pasukan sangat sempurna. Kami tidak dibolosi banyak gol sepanjang musim lalu.

“Itu salah satu perkara yang dilaksanakannya ke atas kami yang menyaksikan beberapa musim sebelum itu kami melepaskan banyak gol,” kata Smalling atau digelar Mike oleh Van Gaal.

Smalling yang juga tonggak pertahanan antarabangsa England akan mempunyai gandingan baharu musim depan selepas Mourinho menandatangani pemain pertamany, Eric Bailly daripada Villareal dengan yuran sebanyak 30 juta pound.

Dia sudah bermain dengan beberapa tonggak pertahanan terhebat United sepanjang enam tahun di Old Trafford dan menyifatkan Ferdinand yang mempunyai 81 kap bersama England banyak mempengaruhinya. – AFP