Smalling selamatkan maruah England

Smalling selamatkan maruah England

LONDON, 3 Jun – Gol menerusi tandukan tonggak pertahanan tengah, Chris Smalling menyelamatkan maruah England apabila menewaskan Portugal 1-0 yang beraksi dengan 10 pemain dalam pertemuan menjelang Euro 2016 di Stadium Wembley, awal pagi tadi.

Ketika kapten Portugal, Cristiano Ronaldo direhatkan selepas beraksi buat Real Madrid pada final Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, minggu lalu, pengurus England, Roy Hodgson berpeluang menurunkan barisan terkuatnya.

Bagaimanapun, dengan aksi pembukaan Kumpulan B menentang Russia di Marseille hanya tinggal sembilan hari lagi, The Three Lions terpaksa menunggu Smalling menjaringkan gol antarabangsa pertamanya bagi mencatat kemenangan biarpun pasukan lawan bermain dengan 10 pemain selepas Bruno Alves dilayangkan kad merah minit ke-35.

Selepas menewaskan Turki dan Australia sebelum ini, England berjaya mencatat kemenangan dalam semua tiga aksi persahabatan tetapi mereka akan berlepas ke Perancis ditemani dengan keraguan mengenai kemampuan sebenar pasukan itu.

Smalling meraikan jaringan selepas berjaya mencetak gol tunggal buat England ketika perlawanan bola sepak persahabatan menentang Portugal di Stadium Wembley, London awal pagi tadi. - AFP
Smalling meraikan jaringan selepas berjaya mencetak gol tunggal buat England ketika perlawanan bola sepak persahabatan menentang Portugal di Stadium Wembley, London awal pagi tadi. – AFP

Portugal tewas kepada England buat kali pertama dalam enam perlawanan tetapi jurulatihnya, Fernando Santos akan kembali mendapat sentuhan Ronaldo dalam aksi pemanas badan terakhir mereka menentang Estonia di Lisbon 8 Jun ini.

Penyokong England buat kali pertama berpeluang menyaksikan Wayne Rooney, Harry Kane dan Jamie Vardy bergandingan bersama di bahagian serangan.

“Hari ini adalah perlawanan yang sukar,” kata Santos. “Ia adalah mesra dan kami mempunyai 10 pemain. Ia sentiasa sukar dengan 10 pemain, terutamanya terhadap England dan dalam suasana ini.

“Walau bagaimanapun kami akan sentiasa bersedia untuk itu dan kami berharap untuk menjadi lebih baik di Perancis.” – AFP