Smart Reader mahu lebar sayap ke Nigeria, HK, China

Smart Reader mahu lebar sayap ke Nigeria, HK, China

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Smart Reader Worldwide Sdn Bhd merancang melebarkan sayapnya sehingga ke Nigeria, Hong Kong dan China dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, kata Pengarah Eksekutifnya, Kevan Ong.

Beliau berkata walaupun kehadiran Smart Reader di Nigeria boleh menjadi batu loncatan ke benua Afrika, ia sebenarnya mengenal pasti China dan Hong Kong sebagai pertumbuhan akan datang.

“China merupakan pasaran yang besar dan kami turut berhasrat untuk memperluas perniagaan ke negara lain,” katanya kepada Bernama.

Pusat Smart Reader Kids telah ditubuhkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Filipina, Thailand, dan Jordan.

Ong berkata Asia sangat luas dan Smart Reader juga sedang mengkaji kemungkinan untuk bertapak di pasaran yang berpotensi seperti India dan Eropah Timur.

Smart Reader Worldwide baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan pemegang francais dari UAE, Australia dan Indonesia untuk penubuhan pusat Smart Reader Kids.

Pusat itu telah berkembang sehingga ke 300 rangkaian francais di Malaysia dan lebih 150 pusat di seluruh dunia, Smart Reader Kids didedikasikan untuk meningkatkan pemikiran dan kuasa pembelajaran kanak-kanak.

“Program Smart Reader Kids adalah untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun.

“Ia merupakan program yang lengkap kerana ia mengikuti sukatan pelajaran kebangsaan seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Bahasa Malaysia, Sains, Agama Islam, pengajian moral, muzik, seni dan kraf, malah adap sopan di meja makan turut diajar,” kata Ong.

Kumpulan Smart Reader Worldwide menawarkan pelbagai program pembelajaran yang memenuhi keperluan kanak-kanak dan orang dewasa. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA