SMARTER anjur Jualan Garaj Amal

SMARTER anjur Jualan Garaj Amal

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Sebagai sebahagian daripada aktiviti pengumpulan dananya, Persatuan Pengurusan Autisme yang berkaitan dengan Isu Latihan, Pendidikan dan Sumber (SMARTER) Brunei akan menganjurkan Jualan Garaj Amal ‘Garage Sale Charity’ di Brunei Tennis Club, Berakas pada 30 dan 31 Januari depan.

Setiausaha Agung SMARTER Brunei, Haji Mohd Ali Hassan bin Haji Omar selaku Pengerusi Jualan Garaj Amal SMARTER memberitahu, orang ramai bolehlah menghantar dan menyumbangkan barangan mereka sama ada barangan terpakai atau baru untuk dijual semasa jualan itu dan 100 peratus hasil daripada jualan itu nanti akan disumbangkan kepada Persatuan SMARTER.

Sebanyak enam kategori jualan akan dijalankan dalam bentuk barangan baru atau terpakai, yang termasuk pakaian, perabot, perkakas rumah, barangan elektronik, mainan, buku dan alat tulis, di samping jualan makanan dan minuman yang dikendalikan sendiri oleh SMARTER Kafe.

Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman pula memberitahu Media Permata bahawa objektif utama jualan amal ini adalah bagi mengutip dana persatuan SMARTER seperti membayar gaji pekerja dan kemudahan bagi persatuan tersebut.

Malai Haji Abdullah semasa sidang media.
Malai Haji Abdullah semasa sidang media.
Haji Mohd Ali Hassan ketika ditemu bual oleh media.
Haji Mohd Ali Hassan ketika ditemu bual oleh media.

Beliau melahirkan harapan agar acara itu akan disambut baik dan menjadi aktiviti berterusan bagi mengumpul dana persatuan. Jualan tersebut juga bertujuan memupuk budaya penjimatan dan kitar semula serta mendidik orang ramai untuk menghargai dan prihatin terhadap anak-anak istimewa.

Orang ramai yang ingin menderma kepada persatuan tersebut, bolehlah menyumbangkan barangan mereka di ketiga-tiga cawangan Pusat SMARTER iaitu Pusat Autisme Brunei untuk Dewasa (BACA) di Kampung Jangsak, Pusat EDGE di Kampung Mata-Mata atau Pusat EDGE di Kuala Belait.

Selain itu, orang ramai juga boleh berkunjung bersama keluarga untuk ‘Membeli Sambil Beramal’ di Jualan Garaj Amal SMARTER dari jam 10 pagi hingga 10 malam pada 30 Januari dan dari jam 7 pagi hingga 5 petang pada 31 Januari.

ARTIKEL YANG SAMA