SMARTER, Flinders anjur Perkhemahan Keluarga

SMARTER, Flinders anjur Perkhemahan Keluarga

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – SMARTER Brunei dan Flinders University akan mengadakan perkhemahan keluarga 2016 pada 23 dan 24 September 2016 ini di Taman Rekreasi Hutan Berakas.

Dalam kenyataan yang dikeluarkannya, hari ini, SMARTER Brunei menjelaskan bahawa perkhemahan bertema SMARTER A.C.E.S (Austim Camp Empowering Success) itu disediakan dengan pelbagai aktiviti, antaranya kesenian, mencari harta karun, berenang dan lain-lain lagi permainan yang disediakan.

Konsep perkhemahan ini adalah untuk memberikan E.D.G.E kepada individu yang mempunyai autisme (IWA), yang merangkumi pendidikan mengenai konsep yang berkaitan, pembangunan kemahiran terutamanya dari aspek sosial, pertumbuhan IWA sebagai individu bebas, dan pengayaan IWA supaya mereka akan dapat menyesuaikan diri, berfungsi dan mempunyai pengalaman keterlibatan dan diterima dalam senario kehidupan sebenar dalam sebarang rekreasi dan santai bersama keluarga dan rakan-rakan dalam komuniti.

Menurut kenyataan itu lagi, perkhemahan ini dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Disamping itu, SMARTER Brunei juga akan mengadakan Persidangan Kebangsaan Autisme ke-8 pada 30 September 2016 di Dewan Al Afiah, Kementerian Kesihatan yang juga dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan.

Program Perkhemahan Keluarga 2016 dan Persidangan Kebangsaan Autisme ke-8 ini akan melibatkan delegasi dari Flinders University sebagai program penempatan mereka selama tiga minggu di negara ini. Acara ini dianjurkan bersama Flinders University, SMARTER Brunei dan Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam melalui Program New Colombo Plan dengan sokongan Australian Trade Commission di Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA