SMARTER giat kumpul dana

SMARTER giat kumpul dana

Oleh Imelda Groves HA

Gambar Fizah HAB

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Dalam usaha untuk mengumpul dana, SMARTER Brunei akan meneruskan lagi Jualan Garaj Amal ke-3 yang akan diadakan pada 30 dan 31 Januari 2016.

Jualan yang akan berlangsung di kawasan letak kereta berhadapan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, Bandar Seri Begawan itu bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam pada 30 Januari dan 8 pagi hingga 5 petang pada 31 Januari.

Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti mengutip dana bagi menjadikan SMARTER Brunei sebagai sebuah organisasi mapan diri dengan mengadakan jualan amal yang sudah dijalankan dua kali sebelumnya dengan sokongan daripada orang ramai.

Jualan amal tersebut juga bertujuan untuk meningkatkan dan memapankan pembiayaan masyarakat.

SMARTER Brunei, dalam kenyataannya, memberitahu bahawa secara purata mereka memerlukan kira-kira $50,000 sebulan untuk menjalankan ketiga-tiga pusatnya dan untuk terus menyediakan perkembangan program-program untuk 115 orang individu autisme.

Sukarelawan SMARTER mengajar pelajar melipat pakaian yang akan dijual pada jualan garaj itu nanti.
Sukarelawan SMARTER mengajar pelajar melipat pakaian yang akan dijual pada jualan garaj itu nanti.
Warga SMARTER membuat persiapan untuk jualan garaj dari barangan yang disumbangkan.
Warga SMARTER membuat persiapan untuk jualan garaj dari barangan yang disumbangkan.

Menurut kenyataan itu lagi, mereka menghadapi krisis kewangan lebih dua tahun kebelakangan ini tetapi masih bertahan untuk terus membantu dan memudahkan individu autisme dengan menyediakan program-program pengembangan.

Organisasi bukan kerajaan ini, terus berharap agar orang ramai sama-sama menghulurkan bantuan dengan mendermakan sebanyak mungkin barangan yang mereka ingin sumbangkan.

Barangan tersebut tidak kiralah sama ada barangan terpakai ataupun baru seperti pakaian, perabot, barangan rumah, barangan elektrik, mainan, buku-buku dan peralatan sekolah.

SMARTER Brunei juga menggalakkan dan menggesa orang ramai untuk datang dan seterusnya menyokong serta membeli barangan pada jualan itu nanti.

Bagi mereka yang ingin mendermakan sumbangan, bolehlah menghantarnya ke cawangan-cawangan SMARTER, iaitu Pusat SMARTER di BACA Centre, No. 822, Simpang 822, Kampung Jangsak atau hubungi talian 2654812; di EDGE Centre, Jalan Seri Setia Satu, Kampung Perpindahan Mata-Mata atau hubungi talian 2420225; dan di EDGE Centre Kuala Belait, Simpang 7, Jalan Mackerron, Kuala Belait.

Selain itu, SMARTER Brunei juga menawarkan perkhidmatan pengambilan barangan sumbangan.

Untuk keterangan lanjut mengenainya, bolehlah menghubungi mana-mana nombor di pusat-pusat berkenaan atau di talian 7172997 selepas waktu pejabat.

ARTIKEL YANG SAMA