SMARTER, UPHSD tandatangani kerjasama MoU

SMARTER, UPHSD tandatangani kerjasama MoU

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Persatuan Pengurusan Autisme berkaitan dengan Isu Latihan, Pendidikan dan Sumber-sumber (SMARTER) Brunei, baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama University of Perpetual Help System DALTA (UPHSD) di Republik Filipina bagi program pertukaran perkembangan pelajar dan kerjasama antara kedua-dua buah institusi tersebut.

Menandatangani MoU bagi mewakili SMARTER Brunei ialah Yang Di-Pertuanya, Malai Haji Abdullah bin Malai Othman, manakala itu, UPHSD pula diwakili oleh Presidennya, Anthony Jose M. Tamayo.

Menerusi perjanjian lima tahun yang bermula pada tahun ini itu, kedua-dua institusi akan dapat menghantar mahasiswa-mahasiswinya atau pegawai dan kakitangan profesional untuk mengadakan lawatan sambil belajar, di samping dapat bertukar-tukar informasi mengenai akademik yang melibatkan kanak-kanak istimewa ini.

Dengan tertubuhnya program pertukaran dan kerjasama dua hala ini, aktiviti latihan dan penyelidikan di antara kedua-dua buah institusi tersebut akan dapat meningkatkan lagi kesefahaman lebih baik antara mahasiswa-mahasiswi universiti dan pekerja-pekerja persatuan SMARTER.

Perwakilan SMARTER Brunei dan University of Perpetual Help System DALTA (UPHSD) menandatangani MoU.
Perwakilan SMARTER Brunei dan University of Perpetual Help System DALTA (UPHSD) menandatangani MoU.

Kedua-duanya juga akan bekerjasama dalam mempromosikan beberapa aktiviti yang melibatkan program pertukaran dan kerjasama melalui industri masing-masing, akademik, latihan dan keperluan pendidikan.

Antara program yang dijalankan itu nanti ialah pertukaran para sarjana dan pelatih-pelatih profesional, pendaftaran pekerja SMARTER Brunei ke UPHSD yang ingin menamatkan ijazah sarjana muda atau melanjutkan pelajaran atau latihan lanjut untuk kemahiran dan perkembangan ilmu dalam bidang yang diceburi, pertukaran informasi dan bahan atau sumber-sumber akademik dan latihan, kerjasama dalam pendidikan dan informasi teknologi serta banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA