SME Corp peruntuk RM9 juta bagi TUBE 3.0

SME Corp peruntuk RM9 juta bagi TUBE 3.0

MARANG, 9 Okt – SME Corporation Malaysia (SME Corp) memperuntukkan sebanyak RM9 juta untuk siri ketiga program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE 3.0) di seluruh negara, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Rizal Nainy.

Beliau berkata seramai 943 belia Bumiputera di seluruh negara telah menyertai program tersebut sejak diperkenalkan pada 2014.

“Sebanyak 99.2 peratus atau 936 daripada mereka berjaya memulakan perniagaan dengan jumlah keseluruhan nilai jualan yang dijana sejak Januari 2015 hingga September lepas mencecah RM23.5 juta.

“Selepas bergelar usahawan, mereka berjaya menyediakan 1,513 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang di seluruh negara.

“Ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif kepada sektor perindustrian kecil dan sederhana di Malaysia,” katanya semasa merasmikan program TUBE 3.0 di Kem Program Latihan Khidmat Negara di Padang Kacong, kelmarin.

Turut hadir Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim.

Selama tiga minggu di kem tersebut, peserta TUBE 3.0 akan didedahkan dengan ilmu keusahawanan, kewangan, kaedah pemasaran dan strategi perniagaan yang berkesan bagi mempersiapkan diri mereka dengan dunia keusahawanan yang sebenar.

Muhammad berkata sebanyak RM750,000 disediakan kepada peserta TUBE 3.0 dari Terengganu yang berjaya menamatkan latihan dengan pembiayaan geran sebanyak RM15,000 untuk setiap peserta.

“TUBE berjaya melahirkan ramai usahawan belia di Terengganu dan mencapai jualan sebanyak RM5.6 juta sepanjang hampir dua tahun pelaksanaannya.

“Kumpulan pertama, TUBE 1.0 yang membabitkan 114 peserta berjaya mencatat nilai jualan terkumpul sebanyak RM5.2 juta dalam tempoh setahun menjalankan perniagaan.

“Manakala kumpulan kedua, TUBE 2.0 melibatkan 50 peserta berjaya merekodkan jualan sebanyak RM400,000 pada suku kedua 2016.

“Selain trend penjanaan jualan yang menunjukkan peningkatan, program itu juga berjaya mewujudkan 430 peluang pekerjaan baharu di negeri ini,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA