SMES beraya bersama anak-anak yatim

SMES beraya bersama anak-anak yatim

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 29 Julai – Dalam menyemarakkan lagi suasana bulan Syawal, Syarikat Sinar Mentari Engineering Services (SMES) menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya bagi Anak-anak Yatim Mukim Belait, yang berlangsung di kediaman Pengarah Urusan SMES, Awang Yusof Bin Haji Othman.

Semasa ditemui media, Awang Yusof menyatakan bahawa rumah terbuka untuk anak-anak yatim ini adalah tradisi tahunan bagi SMES untuk menjemput mereka bersama penjaga mereka meraikan Aidilfitri bersama kakitangan SMES.

Acara rumah terbuka ini juga merupakan kesinambungan daripada aktiviti amal SMES sebelumnya di mana mereka menjemput anak-anak yatim dan ahli keluarga mereka ke majlis berbuka puasa pada bulan Ramadan yang lepas.

“Hari ini kami mempunyai lebih daripada 100 orang anak yatim (tidak termasuk ahli keluarga mereka) yang hadir, dan tahun ini adalah kali kelima saya menjadi tuan rumah untuk acara sebegini,” ujarnya.

Gambar ramai di Majlis Sambutan Hari Raya bersama anak-anak yatim Mukim Belait di kediaman Pengarah Urusan SMES.
Gambar ramai di Majlis Sambutan Hari Raya bersama anak-anak yatim Mukim Belait di kediaman Pengarah Urusan SMES.

Beliau menambah acara tahunan ini juga membolehkan ahli keluarganya dan juga kakitangan SMES untuk berinteraksi dengan anak-anak yatim dan berkongsi kebahagiaan menyambut Aidilfitri.

Turut dijemput ke majlis itu ialah ketua kampung serta ahli-ahli majlis perundingan kampung.

Awang Yusof berkata bahawa tradisi sebegini akan diadakan lagi pada tahun-tahun akan datang bagi memeriahkan lagi suasana Aidilfitri bersama golongan masyarakat setempat.

ARTIKEL YANG SAMA