SMPJN C juarai pertandingan badminton guru-guru

SMPJN C juarai pertandingan badminton guru-guru

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 29 Mei – Pasukan Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara (SMPJN) C menjuarai Pertandingan Badminton Antara Guru-guru dan Kakitangan Kementerian Pendidikan Bagi Daerah Belait hari ini.

Manakala pasukan dari Sekolah Vokasional Sufri Bolkiah (SVSB) menduduki tempat kedua dan Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA) di tempat ketiga.

Acara tahunan ini berlangsung di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Abu Bakar dan pertandingan memperlihatkan kehebatan serta kemahiran guru-guru dalam tiga kategori iaitu Bergu Lelaki, Bergu Wanita dan Bergu Campuran.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah ialah Pegawai Pelajaran Jabatan Sekolah-Sekolah Kuala Belait, Haji Kadri bin Mohammad Yusof.

Juga hadir Pengetua SMPJN, Dayang Asmah binti Awang Tengah Dayang Winnie Lo Shieh Sien.

Johan pertandingan menerima hadiah daripada tetamu kehormat.
Johan pertandingan menerima hadiah daripada tetamu kehormat.
Peserta-peserta kejohanan bergambar ramai.
Peserta-peserta kejohanan bergambar ramai.

Menurut pengerusi acara Awang Marzoffli bin Md Daud, pertandingan ini adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru serta memilih pemain-pemain untuk mewakili Daerah Belait ke kejohanan anjuran kementerian pendidikan dan Kluster 6.

“Selain itu ia juga untuk mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan warga kementerian pendidikan Daerah Belait dan sebagai salah satu sukan riadah bagi guru-guru dan kakitangan kementerian pendidikan dalam sama-sama bergiat aktif dan berfikiran sihat serta membentuk kalangan warga yang sihat dan berfikiran positif.”

Sebanyak enam pasukan dari sekolah-sekolah di Daerah Belait yang menyertai pertandingan kali ini iaitu termasuk Sekolah Misi St Margaret, Sekolah Menengah Perdana Wazir dan Maktab Anthony Abell.