SMR II sambut Hari Keluarga Ria PIBG

SMR II sambut Hari Keluarga Ria PIBG

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Sempena dengan sambutan Hari Keluarga pada tahun ini, Sekolah Menengah Rimba II (SMR II) juga tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan lagi sambutan itu dengan menganjurkan acara Sambutan Hari Keluarga Ria Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMR II, hari ini.

Acara yang diadakan di dewan sekolah berkenaan telah dirasmikan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Gadong, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin.

Pengerusi PIBG, Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi dalam ucapan alu-aluannya mengatakan, sambutan hari keluarga itu adalah hasil usaha sama antara para ibu bapa dan guru-guru di SMR II dalam usaha untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan kekeluargaan di antara pihak PIBG sekolah berkenaan bersama penuntut dan warga sekolah.

Menurutnya lagi, ia juga merupakan salah satu daripada Program Outreach yang dirancang oleh pihak SMR II dengan melibatkan komuniti sekeliling terutamanya seluruh warga sekolah, ibu bapa dan penjaga dalam menyebarluaskan ilmu, matlamat serta mengendalikan aktiviti kemasyarakatan.

Dr Haji Supry (kiri) bersama Yang Berhormat Haji Tahamit di acara sambutan Hari Keluarga.
Dr Haji Supry (kiri) bersama Yang Berhormat Haji Tahamit di acara sambutan Hari Keluarga.
Warga Sekolah Menengah Rimba II bersama ahli PIBG ketika bergambar ramai.
Warga Sekolah Menengah Rimba II bersama ahli PIBG ketika bergambar ramai.

Acara kali ini melibatkan 13 acara sukan ria yang bercorak kekeluargaan yang telah dirancang di samping acara-acara yang menarik seperti permainan bauncer dan aktiviti jual-jualan daripada para ibu bapa dan guru, tambah Dr Haji Supry.

Sambutan yang berlangsung pagi tadi itu dimulakan dengan aktiviti senamrobik serta disusuli dengan pelbagai acara sukan ria dan kemudian majlis penyampaian hadiah-hadiah kepada para peserta.

ARTIKEL YANG SAMA