SMR terima 146 pelajar baru

SMR terima 146 pelajar baru

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Sekolah Menengah Rimba (SMR), pagi tadi, telah menerima 146 orang pelajar baru, yang terdiri daripada 74 orang pelajar lelaki dan 72 orang pelajar perempuan dalam Majlis Kemasukan dan Orientasi Penuntut Tahun 7 bagi tahun 2016.

Dengan jumlah pelajar itu, SMR juga membukakan sebanyak tujuh kelas baru iaitu V.I.C.T.O.R.Y. dengan 25 orang bagi kelas 7V, 24 bagi kelas 7I, 21 bagi kelas 7C, 22 bagi kelas 7T, 21 bagi kelas 7O, 18 bagi kelas 7R dan kelas 7Y mempunyai seramai 14 orang.

Menurut Pengetua SMR, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof, pihak sekolah sentiasa memastikan jumlah pelajar terkawal dengan seminimum yang mungkin dalam sebuah kelas.

Ini bertujuan untuk meningkatkan fokus, perhatian sepenuhnya daripada guru, suasana pembelajaran yang berkualiti tinggi, meningkatkan pergerakan dalam kelas bagi menjalankan sebarang aktiviti harian ke arah pembelajaran ‘Student Centred’ dan memaksimumkan penggunaan kelas atau ‘learning space’.

Di peringkat menengah ini penuntut-penuntut juga akan mempelajari subjek-subjek baru yang tidak pernah dipelajari semasa di sekolah rendah, antaranya subjek pembelajaran sosial, BAT (Business, Art & Design), serta subjek pilihan Drama dan Arab.

Para ibu bapa dan penjaga semasa menghadiri Majlis Kemasukan dan Orientasi Penuntut Tahun 7 bagi tahun 2016 Sekolah Menengah Rimba.
Para ibu bapa dan penjaga semasa menghadiri Majlis Kemasukan dan Orientasi Penuntut Tahun 7 bagi tahun 2016 Sekolah Menengah Rimba.

Pelajar juga akan mempelajari sembilan mata pelajaran utama iaitu Matematik, Bahasa Inggeris, Lower Secondary Science, Bahasa Melayu, IRK, Pembelajaran Sosial, BAT, MIB dan P.E. mereka juga wajib mengambil satu pilihan kelab Ko-Kurikulum.

“Selain menjalankan program sedia ada seperti Program Syumul, Program Blocking System, Program Pengukuhan Asas Literasi dan Numerasi (PeKA), sekolah juga memperkenalkan program baru yang diperkenalkan kepada pelajar Menengah Bawah pada tahun ini iaitu Program ‘Foster Guidance’, ” tambahnya.

Bacaan Ikrar Pelajar bagi pelajar-pelajar baru Sekolah Menengah Rimba.
Bacaan Ikrar Pelajar bagi pelajar-pelajar baru Sekolah Menengah Rimba.

pg05_160107_c

Beliau menjelaskan, program ini membolehkan pihak sekolah melalui guru-guru yang dilantik untuk menjadi ibu bapa angkat kepada pelajar berkenaan agar dapat membimbing dan memberikan sokongan kepada mereka daripada segi pembelajaran akademik atau bukan akademik termasuk moral, etika, pembentukan akhlak atau sahsiah.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau menyeru agar ibu bapa penjaga selaku ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan sentiasa dapat hadir sama dalam sesi perjumpaan dan perbincangan bersama sewaktu majlis perjumpaan ibu bapa/penjaga dan dapat menghadirkan diri dalam apa jua program yang dianjurkan oleh sekolah antaranya program Outreach iaitu program motivasi dan program kongsi sama yang bertujuan semata-mata membantu dan menyokong meningkatkan kecemerlangan anak-anak secara holistik.

Pada majlis yang berlangsung di dewan serba guna sekolah itu, para ibu bapa dan penjaga dijelaskan mengenai kehadiran penutut yang tidak boleh kurang daripada 95 peratus, jika kurang daripada itu maka penuntut tersebut tidak akan dinaikkan kelas walaupun lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan yang telah didudukinya.

Selain berpeluang membuat lawatan ke kelas-kelas anak mereka dan membuat pendaftaran, para ibu bapa selaku ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga dinasihatkan supaya sentiasa memantau dan memeduli perkembangan pembelajaran anak-anak agar kerjasama dan sokongan ibu bapa dan penjaga dapat membuahkan hasil yang cemerlang bagi masa depan anak serta harapan bersama.

ARTIKEL YANG SAMA