SMS Brunei prihatin 2016 dilancarkan

SMS Brunei prihatin 2016 dilancarkan

Oleh Siti Nur Wasimah & Sim Y.H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Dalam usaha untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai beramal kebajikan di bulan Ramadan menghulurkan derma kepada anak-anak yatim, SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan bagi Tahun 1437H/2016M telah dilancarkan.

Pelancaran perkhidmatan ini telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof pada majlis yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KKBS, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Setiausaha Tetap, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad.

Juga hadir ialah Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Hajah Noridah binti Abdul Hamid; Pemangku Pengarah Radio Televisyen Brunei, Pengiran Haji Mahari bin Pengiran Haji Abdul Rajak; Penolong Pengurus Am Kumpulan Perkhidmatan Teknologi Maklumat DST, Awang Amir bin Pehin Datu Pekerma Bijaya Kol (B) Dato Paduka Haji Hussin; Ahli Lembaga Pengarah Progresif Cellular Sdn Bhd, Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan serta jemputan khas.

Dengan pelancaran ini orang ramai bolehlah menghulurkan derma kepada anak-anak yatim menerusi perkhidmatan pesanan ringkas dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan iaitu 1, 5, 10, 15 atau 20, sebagai contoh YATIM20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada 38111.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi melancarkan SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi melancarkan SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan.

Kutipan derma melalui SMS ini dibukakan kepada pelanggan DST dan juga Progresif Cellular Sdn Bhd sehingga 22 Julai.

Tahun lalu, SMS Prihatin bagi Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan berjaya mengutip sumbangan sebanyak $103,725.

Manakala itu, jumlah sumbangan tertinggi yang berjaya dikutip ialah sebanyak $209,356 pada tahun 2007 di mana perkhidmatan SMS telah dibukakan dari 7 September sehingga 20 Oktober 2007.

Bermula pada tahun 2005, SMS Brunei Prihatin merupakan projek tahunan yang diungkayahkan bersama oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Radio Televisyen Brunei, DST dan Progresif Cellular Sdn Bhd.

Ia diharap akan dapat mempermudahkan lagi orang ramai untuk menghulurkan derma bagi membantu mereka yang memerlukan selain meraih pahala yang berlipat ganda di bulan Ramadan yang mulia ini sekali gus mendapat keredaan daripada Allah S.W.T.

Majlis pelancaran berkenaan turut diserikan dengan deklamasi sajak bertajuk ‘Tangisan Seorang Yatim Piatu’ oleh seorang anak yatim, Awang Wan Muhammad Hafiz bin Wan Habib yang merupakan pelajar Tahun 8 Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pada majlis itu, wakil media berkesempatan menemubual Awang Wan Muhammad Hafiz, 12, yang merupakan anak bongsu daripada dua orang adik-beradik.

Awang Wan Muhammad Hafiz mendekla-masikan sajak bertajuk ‘Tangisan Seorang Yatim Piatu’ sempena pelancaran SMS Brunei Prihatin 2016.
Awang Wan Muhammad Hafiz mendekla-masikan sajak bertajuk ‘Tangisan Seorang Yatim Piatu’ sempena pelancaran SMS Brunei Prihatin 2016.

Katanya, pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, banyak sumba-ngan telah diterima daripada pelbagai pihak seperti pihak sekolah, kerajaan, kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan sebagainya.

Sumbangan yang diterima sering kali berupa barangan sekolah, keperluan makanan dan minuman serta wang tunai perbelanjaan.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pelbagai pihak yang telah memberikan bantuan agar sumbangan mereka diberkati dan diambil baik oleh Allah S.W.T.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi mengenai cita-citanya untuk menjadi seorang juruterbang agar dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh keluarganya dan akan terus berusaha untuk mencapai cita-citanya.

Manakala itu, ibunya Dayang Faridah binti Haji Abang, 41, semasa ditemui menjelaskan, beliau berkhidmat sebagai seorang guru di Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) dan keluarganya mula menerima sumbangan sejak tahun lepas.

Sumbangan yang diterima bagi ke-dua-dua anaknya itu sering kali digunakan untuk membeli keperluan asasi, membeli buku dan peralatan sekolah, bagi persediaan Hari Raya dan separuh daripadanya juga akan disimpan sebagai tambung simpanan keluarga.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menderma dan menghulurkan bantuan khususnya di bulan Ramadan ini dan menjelangnya Hari Raya nanti agar mereka yang memberikan sumbangan itu akan mendapat pahala dan rezeki yang berlipat ganda.