SMS Brunei Prihatin kumpul lebih $100,000

SMS Brunei Prihatin kumpul lebih $100,000

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Sejumlah $103,725 telah berjaya dikumpulkan dalam kempen kutipan sumbangan melalui pesanan ringkas untuk anak-anak yatim yang diusahakan oleh DST Sdn Bhd dan Progresif Cellular Sdn Bhd (PCSB) selama 45 hari, bermula 11 Jun hingga 25 Julai lalu.

Sehubungan itu, hasil kutipan SMS Brunei Prihatin untuk Anak-Anak Yatim Kebangsaan di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) tersebut telah diserahkan pada majlis yang berlangsung di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini.

Menerima sumbangan berkenaan ialah Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Pada majlis itu, DST menyerahkan sumbangan berjumlah $82,126 hasil kutipan daripada pelanggan DST dan $20,000 lagi daripada para pegawai dan kakitangan DST yang diserahkan oleh Ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Abdul Latiff bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Muhd Yusof.

Pengurus Perhubungan Kerajaan PCSB menyerahkan sumbangan tersebut kepada tetamu kehormat.
Pengurus Perhubungan Kerajaan PCSB menyerahkan sumbangan tersebut kepada tetamu kehormat.
Ahli Lembaga Pengarah DST menyerahkan sumbangan kutipan untuk tabung anak-anak yatim kepada tetamu kehormat.
Ahli Lembaga Pengarah DST menyerahkan sumbangan kutipan untuk tabung anak-anak yatim kepada tetamu kehormat.

Sementara itu, PCSB berjaya mengutip sejumlah $21,599 yang diserahkan oleh Pengurus Perhubungan Kerajaan PCSB, Dayang Normah binti Ahmad.

SMS Brunei Prihatin merupakan projek tahunan yang diungkayahkan bersama oleh JAPEM, Radio Televisyen Brunei, DST dan PCSB sebagai alternatif bagi orang ramai menghulurkan derma kepada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan.

Sejak dimulakan pada tahun 2005, projek ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai dengan semua kutipan yang diterima disumbangkan terus ke Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan.

ARTIKEL YANG SAMA