SMS untuk dapatkan keputusan peperiksaan

SMS untuk dapatkan keputusan peperiksaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Ogos – Kementerian Pendidikan dengan inisiatif dan kerjasama daripada DST Communications Sdn Bhd (DST), Progresif Cellular Sdn Bhd dan Mach Telecommunications Systems Sdn Bhd (MachTel) akan menawarkan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) untuk keputusan Peperiksaan Mei/Jun Peringkat IGCSE, BC-GCE ‘O’, ‘AS’, & ‘A’ yang akan datang ini.

Sehubungan itu, menurut kenyataan daripada Kementerian Pendidikan hari ini, para pelajar dan ibu bapa serta penjaga yang ingin melanggan perkhidmatan ini perlu mendaftar secara online menerusi portal sesawang kementerian di www.moe.gov.bn atau e-Darussalam di www.brunei.gov.bn.

Di samping itu, pelanggan juga dapat mendaftar menerusi SMS dengan menaip MOE<jarak>REG<jarak>[kod pusat]<jarak>[nombor calon]<jarak>[nombor kad pengenalan calon] dan hantar ke nombor 8885555 bagi pelanggan DST dan 38666 bagi pelanggan Progresif.

Kenyataan turut memaklumkan bahawa tiada bayaran dikenakan bagi pendaftaran menerusi portal sesawang atau SMS.

Pelanggan boleh mula melanggan perkhidmatan ini bermula 17 Ogos 2016.

Keputusan peperiksaan hanya akan dihantar kepada pelanggan menerusi SMS sebaik mendapat kebenaran daripada Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan untuk mengeluarkan keputusan berkenaan.

Pelanggan akan dikenakan bayaran $3 bagi setiap keputusan SMS yang diterima.

Dengan perkhidmatan ini, Kementerian Pendidikan berharap bahawa ia akan memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya ibu bapa atau penjaga dan pihak-pihak berkepentingan kementerian pada amnya.

Bagi maklumat lanjut atau pertanyaan lanjut mengenai bagaimana mendaftar, boleh menghantar e-mel ke alamat mach@machbrunei.com atau layari laman sesawang http://www.machbrunei.com/welcome.php.

ARTIKEL YANG SAMA