SMSB anjur Pameran ‘Wajah Kesayangan Rakyat’

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 11 Okt – Bagi meraikan Majlis Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, Pusat Sejarah Brunei dengan kerjasama Sekolah Menengah Sufri Bolkiah (SMSB), Tutong, telah mengadakan Pameran ‘Wajah Kesayangan Rakyat’ di ruang legar sekolah menengah berkenaan, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Kluster 5, Jabatan Sekolah-sekolah Daerah Tutong, Dayang Nor Asurah binti Haji Meluddin.

Turut hadir ialah Pengetua SMSB, Dayangku Norahizan binti Pengiran Haji Bungsu.

Pegawai Sejarah Kanan, Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad yang juga selaku Ketua Bahagian Pameran dan Perkhidmatan Pusat Sejarah Brunei semasa menyampaikan ucapan berkata, perasmian Pameran Wajah Kesayangan Rakyat yang diadakan itu adalah bersempena Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan Menaiki Takhta.

Sepanjang 50 tahun pemerintahan, Baginda telah mencapai banyak kejayaan dalam memimpin negara sejajar dengan negara-negara maju di dunia ini.

Pengiran Hajah Mahani, Dayang Nor Asurah dan Dayangku Norahizan ketika menyaksikan Pameran ‘Wajah Kesayangan Rakyat’.
Pelajar-pelajar dan guru-guru berkesempatan mengikuti aktiviti yang dikendalikan oleh Pusat Sejarah Brunei.

Menerusi pameran tersebut, ia melakarkan riwayat hidup serta kegemilangan pemerintahan Baginda sebagai seorang raja, ketua negara dan ketua agama Islam. Di bawah pemerintahan Baginda, Negara Brunei Darussalam telah banyak mencapai kemajuan, kejayaan dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang seperti bidang keagamaan, pentadbiran dan pendidikan, jelas Pengiran Hajah Mahani lagi.

Pameran tersebut juga memperlihatkan pencapaian Baginda dalam pelbagai bidang sebagaimana hasrat dan aspirasi Baginda dalam membangunkan Negara Brunei Darussalam.

Antara pencapaian Baginda dalam menerajui sistem pemerintahan adalah lawatan-lawatan Baginda di dalam dan luar negara, penglibatan Baginda dalam kebudayaan dan kebeliaan, pemedulian Baginda terhadap kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, raja mesra rakyat serta penglibatan Baginda dalam bidang sukan dan rekreasi yang sememangnya telah menjadi minat Baginda sejak remaja lagi.

Selain pameran, beberapa aktiviti juga diadakan seperti kuiz, tunjuk cara seni khat jawi, takapan batu nisan, salasilah, tayangan video dokumentari sejarah, pameran buku dan jualan buku terbitan Pusat Sejarah Brunei.

Melalui pameran dan aktiviti-aktiviti yang dikendalikan oleh Pusat Sejarah Brunei, ia akan dapat memberikan pendedahan positif dan pengetahuan berguna kepada para guru dan penuntut sekolah tentang kepentingan mempelajari dan mengetahui sejarah serta pelajaran sejarah terhadap pembangunan bangsa dan negara.

Turut hadir bagi menyaksikan pameran dan peluang menyertai aktiviti tersebut ialah guru-guru dan para pelajar Tahun 7 hingga 10 Sekolah berkenaan.