SMSUA lancar Bulan Muhasabah Diri

SMSUA lancar Bulan Muhasabah Diri

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA) hari ini melancar Program Bulan Muhasabah Diri untuk memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar agar mereka dapat fokus kepada pelajaran dan seterusnya meningkatkan keputusan peperiksaan.

Majlis pelancaran tersebut berlangsung di dewan serbaguna sekolah berkenaan dan disempurnakan oleh Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor. Turut hadir Pengetua SMSUA, Hajah Sapiah binti Pengarah Haji Buntar.

Program yang julung-julung kali diadakan itu melibatkan pelajar-pelajar yang bermasalah disiplin seperti merokok, buli dan pergaulan yang dilarang (berdua-duaan antara lelaki dan perempuan).

Pihak ibu bapa pelajar juga dijemput untuk sama-sama membantu menangani masalah disiplin anak-anak mereka.

Selain membentuk pelajar agar berdisiplin dan bertanggungjawab serta peka akan peraturan dan undang-undang sekolah program tersebut juga bertujuan membentuk keperibadian mulia dalam kalangan pelajar serta mempunyai daya saing dan jati diri yang tinggi.

Antara pelajar yang hadir pada majlis pelancaran tersebut.
Antara pelajar yang hadir pada majlis pelancaran tersebut.

Antara program yang akan dijalankan sepanjang bulan ini adalah ‘Program Uda vs Dara’ yang melibatkan pelajar-pelajar yang sering berdua-duaan secara tersembunyi.

Program tersebut akan dikendalikan oleh wakil dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama. Aktiviti ‘Team Building’ yang melibatkan pelajar-pelajar yang sering berkelahi dan membuli, dan dikendalikan oleh Outward Bound Brunei Darussalam. Manakala Program ‘Berhenti Merokok’ yang dikendalikan oleh Pusat kesihatan, Kementerian Kesihatan dan pelajar yang terlibat merupakan pelajar-pelajar yang selalu merokok.

Majlis perasmian hari ini diserikan dengan ceramah bertajuk ‘Disiplin Diri Ke arah Kesempurnaan Insan’ yang disampaikan oleh Haji Ali Yusri.

ARTIKEL YANG SAMA